Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 22 November 2024, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selaras dengan  Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12,2021-2025), Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Depan (EU-ERA) telah mengeluarkan analisis komprehensif mengenai pasaran buruh Malaysia dalam kerangka Belanjawan 2025.

EU-ERA merangka beberapa dapatan utama sejajar dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM421 bilion untuk membina tenaga kerja yang berdaya tahan dan inklusif sambil menangani cabaran kritikal dalam produktiviti, gaji dan penyertaan tenaga kerja.

Antara dapatan analisis pasaran buruh  yang dirangka oleh EU-ERA ialah mencipta peluang pekerjaan yang signifikan dengan menambah antara 490,000 hingga 510,000 pekerjaan  baharu menjelang tahun 2025. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan tertumpu kepada pekerjaan mahir (39.7%) dan separa mahir (45.7%).

Seterusnya, dapatan kedua pula ialah menurunkan kadar pengangguran pada kadar antara 3.1% sehingga 3.2% menjelang tahun 2025. Dapatan ketiga pula, EU-RA merancang untuk meningkatkan  kadar gaji daripada RM3,971 hingga RM4,053 pada tahun 2025 dan telah diperakui oleh Dasar Gaji Progresif.

Di samping itu, dapatan keempat ialah meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja anggaran mencapai sekitar 56.7% sehingga 56.8% menjelang tahun 2025 di bawah sasaran 59% yang ditetapkan dalam RMKe-12. Dapatan akhir pula dinyatakan dengan menangani jurang gaji dan produktiviti dengan menyediakan pampasan pekerja dengan sasarandijangka meningkat daripada 35.2% kepada 35.6% pada tahun 2025.

Antara  cadangan memperkukuh reformasi bagi meningkatkan keberhasilan tenaga pekerja termasuklah merancang pengurusan gaji minimum yang lebih strategik dengan mengambil kira  gaji minimum kepada paras RM1,700 mulai tahun 2025. Pendekatan ini turut membantu perniagaan dan pekerja membuat perancangan kos dan pendapatan secara mampan.

Kedua, memperuntukkan sebanyak RM25.3 bilion kepada sektor pendidikan  dan latihan khususnya Pendidikan  Teknikal dan Latihan Viokasional. Ketiga, menyediakan skim persaraan mampan berkonsepkan insurans sosial dalam Belanjawan 2025 agar dapat memberikan jaminan kepada pekerja dan menyokong pembangunan tenaga kerja yang produktif. Keempat, EU-ERA mencadangkan agar pembiayaan kepada institusi pendidikan tinggi diselaraskan kepada keberhasilan berimpak tinggi, seperti kebolehpasaran graduan,pengurangan ketidaksepadanan pekerjaan, dan kerjasama yang strategik dengan sektor industri.

EU-ERA juga menyenaraikan beberapa langkah yang perlu diambil perhatian  dalam RMKe-13 yang membabitkan reformasi minda dan sosial, penjajaran semual sistem pendidikan dan kebajikan pekerja berusia. EU-ERA menekankan pembaharuan secara holisitik yang melibatkan  semua fasa pasaran kerja, pekerjaan, hingga pascapekerjaan untuk membentuk ekosistem pasaran buruh yang inklusif dan berdaya tahan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi