Diterbitkan pada 21 November 2024, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lawatan kerja Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Brazil dari 16 hingga 19 November 2024 telah berjaya menjanakan potensi eksport sebanyak RM6.8 bilion (USD1.57 bilion) bagi tempoh tiga tahun hingga lima tahun akan datang.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan, potensi eksport itu menunjukkan peluang perdagangan yang besar, khususnya dalam sektor bernilai tinggi yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030.

Potensi eksport tersebut diraih melalui Mesyuarat Meja Bulat yang dianjurkan oleh MITI dengan Pemimpin Industri Brazil.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh 58 orang pemimpin industri dan perniagaan daripada 28 buah syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan dari Brazil yang dianjurkan bersempena dengan penyertaan YAB Perdana Menteri dalam Persidangan G20 yang berlangsung di Rio de Janeiro dari 18 hingga 20 November 2024.

Mesyuarat Meja Bulat tersebut turut dihadiri oleh 48 orang wakil dari 19 buah syarikat, agensi dan persatuan industri dari Malaysia merangkumi pelbagai industri dan sektor perkhidmatan bernilai tinggi termasuklah minyak dan gas, aeroangkasa, peranti perubatan dan penjagaan kesihatan, semikonduktor, teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan industri 4.0, kimia, perlombongan, industri halal, dan minyak sayuran dan lemak masak.

MITI juga telah menganjurkan mesyuarat bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dengan Brazil, khususnya dalam industri semikonduktor lanjutan persetujuan yang dicapai oleh YAB Perdana Menteri dan TYT Presiden Brazil untuk menjalinkan kerjasama dalam industri ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ini turut dihadiri oleh MIMOS Berhad, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil, Persatuan Industri Semikonduktor Brazil dan Institut Eldorado Brazil.

Mesyuarat tersebut telah menggariskan kepentingan untuk meningkatkan kerjasama dalam rekaan, pembuatan dan pembangunan bakat dalam industri semikonduktor.

Dua Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan dengan kerjasama dalam industri semikonduktor turut dimeterai antara MIMOS Berhad dengan Institut Eldorado Brazil dan antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia dengan Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil, dan Persatuan Industri Semikonduktor Brazil.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Brazil bagi tempoh Januari 2024 hingga September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus kepada RM14.83 bilion (USD3.2 bilion), berbanding dengan RM12.38 bilion (USD2.74 bilion) bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin dengan pelaburan sebanyak RM8.64 billion (USD2.73 bilion) merangkumi sektor pembuatan makanan, produk getah, peralatan pengangkutan dan hab pengedaran global.

Syarikat Malaysia seperti PETRONAS, Yinson dan Sapura turut melabur di Brazil dalam sektor tenaga, dan minyak dan gas dengan jumlah pelaburan melebihi USD15 bilion.

MITI yakin bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Brazil akan terus berkembang dengan mengambil kira peluang yang ditawarkan melalui NIMP 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi