Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 18 November 2024, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) melancarkan hasil kajian mengenai kesan transformasi tenaga kerja akibat perubahan global seperti pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau. Kajian ini bukan sekadar laporan, tetapi merupakan naskhah hala tuju yang bersifat strategik dan tuntas bagi memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia dalam menghadapi cabaran masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Thomas Mathew menyatakan bahawa kajian ini dirumuskan dengan pelibatan menyeluruh pelbagai pihak.

“Kami telah menjalankan 150 bengkel, perbincangan dan mesyuarat bersama lebih 300 pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, industri dan akademia. Strategi ini dirangka agar segala pelan mengambil kira dari sudut inklusif, adaptif dan responsif terhadap landskap ekonomi Malaysia yang sedang berubah,” katanya di dalam Majlis Pelancaran Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau ke atas Tenaga Kerja Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pagi tadi.

Menurut Thomas, Malaysia berada di persimpangan kritikal di mana perubahan global sedang mentakrifkan semula industri dan bentuk pekerjaan. Dengan kelebihan demografi penduduk muda serta minat pelabur dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan dan perkhidmatan perniagaan global, negara perlu menangani cabaran untuk mencipta peluang pekerjaan baharu sambil menguruskan risiko kehilangan pekerjaan dalam sektor tertentu.

Sebagai sebahagian daripada mandat TalentCorp untuk mengenal pasti kemahiran kritikal dan menangani jurang bakat, inisiatif utama seperti MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) diperkenalkan.

“MyMAHIR FSTC ialah inisiatif yang diketuai industri dan sejajar dengan amalan terbaik Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Melalui platform ini, kami bekerjasama dengan pelbagai kementerian termasuklah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membangunkan kurikulum dan latihan yang relevan dengan keperluan tenaga kerja masa depan,” jelas Thomas.

Dalam majlis yang sama, Thomas turut mengumumkanpelancaran platform MyMAHIR.

Platform ini berfungsi sebagai pusat sumber yang menyediakan penemuan kajian, taksonomi kemahiran, dan panduan perancangan tenaga kerja. MyMAHIR bukan sahaja untuk profesional, tetapi juga untuk belia yang ingin meneroka laluan kerjaya dan bersedia untuk ekonomi masa depan.

Malaysia, dengan usia median penduduk hanya 30 tahun, memiliki kelebihan demografi untuk menjadi destinasi pelaburan utama. Namun begitu, kadar pengangguran belia sebanyak 11% dan 36.3% daripada graduan yang tidak bekerja mengikut kelayakan menjadi peringatan bahawa pelaburan dalam latihan semula dan peningkatan kemahiran adalah penting untuk memenuhi permintaan pekerjaan masa hadapan.

Kajian kesan ini bertindak sebagai peta jalan untuk pembuat dasar, akademia, dan industri bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dan bersedia menghadapi masa depan. Kajian ini mengandungi taksonomi kemahiran mengikut pekerjaan dan sektor, serta mengenal pasti keperluan latihan yang akan dilaksanakan oleh rakan kongsi latihan.

“Kerjasama adalah kunci kejayaan. Saya menyeru semua pihak, iaitu pihak industri, ahli akademik dan masyarakat untuk berganding bahu dalam misi ini. Bersama-sama, kita mampu merealisasikan visi ini demi masa depan Malaysia,” kata Thomas.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia YB Steven Sim Chee Keong; Menteri Komunikasi Digital, YB Gobind Singh Deo; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KESUMA, YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital, YB Fabian Bigar dan Pengerusi Talent Corporation Malaysia Berhad, YB Wong Shu Qi.

Kajian Impak TalentCorp yang dilancarkan hari ini bertujuan untuk mempersiapkan tenaga kerja Malaysia bagi menghadapi masa depan dengan menilai sejauh mana AI, digitalisasi dan ekonomi hijau mempengaruhi pelbagai sektor ekonomi.

Kajian ini berfungsi sebagai peta hala tuju penting untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang kekal kukuh hingga masa hadapan, bagi memastikan ketahanan dan kebolehsuaian dalam menghadapi perubahan pesat.

Fasa pertama kajian ini disusun dalam lima peringkat utama. Ia bermula dengan menyatukan peranan dan kemahiran dari 10 sektor utama serta mengenal pasti jurang yang wujud. Seterusnya diikuti dengan menilai impak AI, digitalisasi dan ekonomi hijau terhadap peranan-peranan ini.

Kajian ini merupakan Fasa Pertama daripada usaha komprehensif yang berfokuskan kepada 10 sektor utama, iaitu Aeroangkasa, Kimia, Elektrik dan Elektronik (E&E), Tenaga dan Kuasa (E&P), Pemprosesan dan Perkhidmatan Makanan (FMS), Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Peranti Perubatan, Pengilangan Farmaseutikal dan Perdagangan Borong dan Runcit (WRT)

Sektor ini yang menyumbang sekitar 60% daripada KDNK Malaysia (kira-kira RM933 bilion) dan menggaji 31% tenaga kerja mahir dan separa mahir (kira-kira 3.5 juta orang), telah dipilih berdasarkan kepentingan ekonomi dan potensi untuk inovasi serta kemampanan.

Setiap sektor menghadapi cabaran unik dalam mengintegrasikan AI, strategi digital dan amalan hijau, yang menunjukkan potensi transformasi ekonomi melalui peningkatan kemahiran khusus, peningkatan semula kemahiran, merapatkan jurang kemahiran dan menyelaraskan latihan dengan piawaian antarabangsa untuk memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi.

Kredit Foto: Media KESUMA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi