Diterbitkan pada 16 November 2024, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada Suku Ketiga 2024 (S3 2024) berkembang sebanyak 5.3 peratus didorong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta pemulihan berterusan prestasi sektor luar negeri.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan, kadar pertumbuhan S3 2024 ini seiring dengan anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dilaporkan baru-baru ini.

Prestasi menggalakkan pada S3 2024 ini telah menjadikan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi sembilan bulan pertama 2024 kepada 5.2 peratus, ketimbang 3.8 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Malaysia telah menapak dengan asas yang kukuh untuk menggapai pertumbuhan berdasarkan ambang unjuran rasmi kerajaan sebanyak 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, yang juga telah disemak meningkat daripada unjuran asal antara 4 peratus hingga 5 peratus.

Sementara itu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama berkata, pertumbuhan yang menjangkau 5 peratus pada sembilan bulan pertama 2024 mencerminkan keyakinan perniagaan dan rakyat terhadap ekonomi Malaysia serta pengurusan ekonomi kerajaan.

Tambah beliau, kerajaan MADANI bertekad memperhebat pelaksanaan agenda reformasi bagi memperkukuh tatakelola dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Ujar beliau lagi,

Tumpuan penuh kepada agenda reformasi dapat dilihat melalui Belanjawan 2025, apabila kerajaan giat memperkukuh pengurusan fiskal melalui pengurangan defisit fiskal, peluasan asas hasil dan perbelanjaan berhemat melalui penyasaran subsidi petrol.

Menurut beliau, Belanjawan 2025 mengimbangi antara keperluan tanggungjawab fiskal dengan terus melaksanakan belanjawan dan pelaburan awam yang mengembang, demi menyokong momentum pertumbuhan yang jitu bagi tahun mendatang.

Tambah beliau,

Malaysia kini berada pada landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan dengan kerajaan giat menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan martabat ekonomi Malaysia.

Beliau turut menekankan kerangka Ekonomi MADANI telah membina landasan jelas untuk Malaysia melonjakkan nilainya dalam rantaian bekalan dunia serta menjayakan keterjaminan dan kemampanan ekonomi.

Ujar beliau,

Kerajaan yakin bahawasanya terdapat peluang keemasan pada zaman penuh keberantakan ini dan Malaysia berada atas landasan baik untuk memanfaatkan fenomena peralihan kepada strategi kepelbagaian operasi ke negara lain seperti di Asia Tenggara yang kian meningkat.

Tambah beliau, ikhtiar kerajaan untuk mengukuhkan serta memperbaharu kerjasama bilateral dan multilateral, sambil mengekalkan kedudukan berkecuali, bakal membuahkan hasil melalui lonjakan perdagangan serta perluasan pasaran eksport.

Sementara itu, menurut MOF, Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM421 bilion bertujuan untuk memacu reformasi fiskal dan ekonomi, mengutamakan pelaburan bermutu tinggi yang berupaya mencipta pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta menambah baik perkhidmatan dan prasarana awam untuk meningkatkan darjat hidup rakyat.

Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM86 bilion juga ditambah dengan projek inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bernilai RM9 bilion serta pelaburan langsung domestik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) berjumlah RM25 bilion.

Secara keseluruhan, pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 adalah berjumlah RM120 bilion.

Tambah MOF, peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) pada September 2024 dijangka menjanakan pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion dan mencipta 900,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

Kerajaan telah mengambil pendekatan tegas dan beransur-ansur untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5 peratus pada tahun 2023 kepada 4.3 peratus tahun ini, sebelum menggiatkan lagi usaha kepada 3.8 peratus pada tahun 2025 yang menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menjayakan kemampanan kewangan pada jangka masa panjang.

Kerajaan kekal berikhtiar untuk memastikan pelaksanaan langkah serta inisiatif pragmatik bagi mengukuhkan asas ekonomi negara, agar Malaysia berpijak pada landasan kukuh untuk bertahan daripada tantangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi dalam negeri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi