Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lawatan rasmi Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim ke Mesir telah berjaya mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Mesir, sekali gus menjanakan potensi eksport bernilai RM4.8 bilion (USD1.1 bilion) untuk Malaysia.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan, potensi eksport tersebut diraih melalui Mesyuarat Meja Bulat yang dihadiri oleh kira-kira 60 orang pemimpin industri dan perniagaan dari 47 buah syarikat serta persatuan perniagaan utama di Mesir bersama-sama 40 orang wakil dari 20 buah syarikat Malaysia.
Sepanjang sesi itu, perbincangan produktif antara syarikat Malaysia dengan Mesir telah menghasilkan potensi eksport dalam sektor bernilai tinggi seperti automotif, kimia, oleokimia dan tenaga boleh baharu.
Selain itu, syarikat Mesir turut menunjukkan minat untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia, terutamanya dalam sektor peranti perubatan dan farmaseutikal.
Sementara itu, mesyuarat dua hala antara Menteri MITI, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz dengan Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, TYT Hassan El Khatib, telah bersetuju supaya Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Pelaburan (JTIC) Malaysia-Mesir diaktifkan semula.
Tambahan lagi, Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat JTIC Ke-2 pada awal tahun 2025 dengan penumpuan kolaborasi dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu, industri halal serta transformasi digital.
Kedua-dua menteri turut bersetuju supaya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Am untuk Pelaburan dan Zon Bebas (GAFI) menandatangani memorandum persefahaman bagi memperkukuh hubungan serta promosi pelaburan dua hala Malaysia-Mesir.
Sebagai langkah strategik memperkukuh sokongan kepada pengeksport Malaysia untuk meneroka potensi besar pasaran Afrika Utara dan negara Arab, Pejabat Perdagangan MATRADE di Kaherah, Mesir juga telah dinaik taraf sepenuhnya pada Januari 2024 bagi meningkatkan perkhidmatan akses pasaran dan rundingan eksport.
MITI turut memaklumkan bahawa dalam usaha memacu pertumbuhan eksport Malaysia, PROTON telah pun mengambil langkah strategik untuk memasuki pasaran Mesir dengan pembukaan kilang pemasangan tempatan.
Langkah itu bukan sahaja akan memanfaatkan potensi pasaran automotif Mesir yang berkembang pesat, tetapi juga mengukuhkan kehadiran PROTON di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.
Aktiviti pemasangan telah bermula dengan penghantaran pertama kenderaan pemasangan tempatan (CKD) PROTON pada September 2024 dan jualan dijangka bermula pada Januari 2025 dengan sasaran sebanyak 16,000 unit dari tahun 2024 hingga tahun 2026.
Menurut MITI lagi, perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Mesir bagi tempoh Januari hingga September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 21.4 peratus kepada RM3.0 bilion (USD648.0 juta), berbanding dengan RM2.4 bilion (USD545.5 juta) bagi tempoh yang sama pada 2023.
Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika pada tahun 2023.
Sementara itu, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz Tengku Zafrul dalam kenyataan sama berkata,
Dengan potensi eksport sebanyak RM4.8 bilion dari Malaysia, serta pelbagai inisiatif lain untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Mesir, MITI yakin hubungan dua hala ini akan terus berkembang, sekali gus memberikan impak positif kepada ekonomi dan pencapaian objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) menjelang 2030.
Tambah beliau, MITI serta agensinya akan mengambil tindakan susulan bagi memastikan kesemua inisiatif yang dipersetujui akan dilaksanakan dengan kadar segera.