Diterbitkan pada 6 November 2024, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini melancarkan laporan terkini mengenai Indikator Kos Sara Hidup (KSH) 2023 yang merangkumi statistik Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi isi rumah di seluruh negara. Berdasarkan laporan ini, purata PAKW bulanan bagi isi rumah di Malaysia pada tahun 2023 ialah RM4,729 dengan saiz isi rumah purata seramai 3.8 orang.

Perbandingan mengikut kawasan menunjukkan bahawa isi rumah di kawasan bandar memerlukan perbelanjaan lebih tinggi dengan nilai PAKW sebanyak RM5040 berbanding kawasan luar bandar yang mencatatkan RM3,631.

DOSM menyatakan bahawa nilai PAKW dipengaruhi oleh beberapa faktor utama seperti saiz isi rumah, umur, jantina dan kawasan tempat tinggal. Isi rumah yang mempunyai bilangan ahli yang lebih ramai memerlukan perbelanjaan lebih besar untuk memenuhi keperluan makanan dan bukan makanan.

Selangor mencatatkan nilai PAKW tertinggi di negara ini dengan purata RM5,854 diikuti dengan W.P. Kuala Lumpur (RM5,468), W.P. Labuan (RM5,376), Melaka (RM5,291) dan W.P. Putrajaya (RM5,249). Kesemua negeri ini merekodkan nilai PAKW melebihi paras nasional, iaitu RM4,729.

Negeri yang mencatat nilai PAKW terendah adalah Perak dengan nilai RM3,723 diikuti dengan Kedah (RM3,787), Perlis (RM3,818), Pahang (RM3,949) dan Negeri Sembilan (RM3,987).

Pada peringkat daerah, Petaling mencatatkan nilai PAKW tertinggi, iaitu RM6660 diikuti dengan Klang (RM6,244), Hulu Langat (RM5,810), Kuala Terengganu (RM5,750) dan Lahad Datu (RM5,608). Sementara itu, Bukit Mabong mencatatkan nilai PAKW terendah sebanyak RM1,945 diikuti dengan Julau (RM2,347), Sri Aman (RM2,486), Belaga (RM2,493) dan Lubok Antu (RM2,516).

Laporan PAKW 2023 ini dilancarkan sempena Majlis Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 DOSM di Butterworth pada Sabtu lalu (2 November) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. 

Turut hadir ialah Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli; Menteri Dalam Negeri, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Laporan ini merangkumi 15 penerbitan termasuk satu penerbitan utama bagi seluruh Malaysia dan 14 penerbitan khusus mengikut negeri dan Wilayah Persekutuan. Antara indikator utama yang dipaparkan dalam laporan ini adalah PAKW dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa PAKW adalah satu indikator penting untuk mengukur kos kehidupan wajar di negara ini. 

Pembangunan PAKW bermula pada tahun 2018 dengan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.

PAKW merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh isi rumah untuk mencapai kehidupan yang wajar dengan memenuhi keperluan asas, kehendak dan penyertaan dalam aktiviti sosial. Nilai PAKW ini berbeza mengikut lokasi dan ciri-ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah.

PAKW dibangunkan berdasarkan prinsip keperluan melebihi minimum dengan mempertimbangkan tiga aspek utama kehidupan, iaitu keperluan asas, kehendak dan penyertaan sosial. Di samping itu, pendekatan ini turut mengambil kira kos makan di luar serta kos diet asas mengikut Piawaian Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

DOSM turut memperkenalkan Kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW. Kalkulator ini dibangunkan untuk membantu orang ramai menganggarkan jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan faktor demografi dan lokasi mereka. MyPAKW boleh dimuat turun melalui aplikasi Play Store dan App Store atau boleh juga diakses melalui laman sesawang rasmi DOSM di https://mypakw.dosm.gov.my.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi