Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin telah dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA).
Pelantikan beliau untuk penggal 2024–2027 berkuat kuasa mulai 22 Oktober 2024 semasa 44th CATA Technical Conference di Mauritius.
CATA adalah pertubuhan percukaian antarabangsa yang dianggotai oleh pentadbir cukai dari 47 negara Komanwel dan merupakan pertubuhan percukaian yang terbesar di dunia mengikut bilangan keahlian pentadbir cukai.
Objektif utama CATA adalah untuk membantu negara anggota mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pentadbiran percukaian.
CATA sehingga kini telah memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan pemodenan pentadbiran percukaian dan penggunaan polisi, proses dan prosedur kerja yang efisien dalam kalangan negara Komanwel terutamanya negara membangun.
Pelantikan ini juga mencerminkan kepercayaan penuh negara anggota terhadap kepimpinan YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin sebagai peneraju dalam mengemudi CATA untuk penggal 2024–2027.
Hal ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan terhadap Malaysia dan HASiL tetapi juga terhadap ketokohan dan komitmen tinggi YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin untuk membawa pertubuhan ini ke tahap yang lebih tinggi.
Pengiktirafan ini turut mengangkat suara Malaysia pada persada dunia dalam membawa hala tuju yang dinamik sekali gus memangkin pentadbiran percukaian yang lebih mampan.