Diterbitkan pada 21 Oktober 2024, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik Perintah Gaji Minimum baharu mulai 1 Februari 2025 yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong berkata, peningkatan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 ini akan meningkatkan pendapatan lantai rakyat sebanyak 13.3 peratus sejajar dengan misi strategik 3K KESUMA, iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja.

Namun begitu, katanya, demi memberikan ruang kepada usahawan kecil membuat penyelarasan, penguatkuasaan kadar baharu ini kepada majikan dengan lima orang pekerja dan ke bawah ditangguhkan sehingga 1 Ogos 2025.

Ujar beliau lagi,

Sukacita dimaklumkan bahawa kadar baharu ini telah dipersetujui secara sebulat suara dan konsensus oleh wakil pihak majikan, pihak pekerja serta kerajaan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Menurut beliau, perintah Gaji Minimum Baharu baharu ini juga adalah seragam di seluruh negara tanpa mengira wilayah.

Selaras dengan misi menaikkan pendapatan lantai dalam Ekonomi MADANI, pengumuman ini juga adalah sebahagian daripada usaha KESUMA dalam rangka menambah baik pendapatan golongan pekerja secara menyeluruh.

KESUMA ingin menekankan bahawa gaji minimum tidak harus dijadikan gaji permulaan khususnya untuk para graduan dan pekerja yang berkemahiran.

Jelas beliau lagi,

Selain pelaksanaan gaji minimum, strategi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja termasuk melaksanakan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai langkah baharu untuk mereformasi pasaran buruh dengan tujuan meningkatkan gaji pekerja seiring dengan peningkatan produktiviti dan pengalaman.

Beliau berkata pelbagai latihan pemerkasaan peningkatan kemahiran untuk pekerja akan giat dilaksanakan oleh KESUMA dalam usaha memastikan kadar gaji meningkat selaras dengan kemahiran serta keberhasilan pekerja.

Beliau turut memaklumkan KESUMA juga buat julung kalinya akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

Tambah beliau, garis panduan ini akan menjadi rujukan kepada pekerja dan majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan.

Sebagai pelengkap kepada usaha yang disebut, KESUMA juga telah menguatkuasakan pindaan baharu kepada undang-undang berkaitan dengan kesatuan sekerja mulai 15 September 2024 yang antara lain mengurangkan kekangan kerajaan terhadap penubuhan kesatuan sekerja bagi memperkasakan kuasa pekerja menuntut pampasan serta keadaan pekerjaan yang lebih baik, termasuk gaji yang lebih baik.

Menurut beliau, kadar gaji minimum yang diputuskan ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan bagi memastikan kebajikan pekerja terutama pekerja yang berpendapatan rendah lebih terjamin, selain mengangkat martabat dan mengutamakan rakyat.

Tambah beliau, pihak majikan juga bakal menerima manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna selepas ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi