Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.7 bilion, peruntukan yang tertinggi berbanding dengan negeri lain menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu.
“Peruntukan untuk Sabah kali ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri ini. Walaupun tidak dapat menyelesaikan semua isu atau masalah pembangunan, kita akan terus berusaha untuk memperbaik keadaan sedia ada sebaik mungkin,” ujar Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu melancarkan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah 2024 (SIBEC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 19 Oktober 2024.
Beliau juga menekankan kepentingan ketelusan dan keberkesanan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan.
“Projek Pan Borneo kini dalam peringkat akhir pembinaan di Sarawak dan hampir siap. Bagi Sabah, sedikit lagi dorongan diperlukan untuk memastikan kelancaran pelaksanaannya.”
YAB Dato’ Seri Anwar turut menyokong inisiatif ekonomi biru yang kini menjadi fokus baharu di Sabah.
“Negeri Sabah yang kaya dengan sumber maritim memiliki potensi besar untuk berkembang dengan lebih pesat jika memberikan tumpuan kepada sektor ekonomi biru,” tambah beliau.
Beliau menyifatkan dasar pembangunan mampan bagi sektor ekonomi biru ini sebagai usaha untuk memperkaya negeri dan rakyat secara bersama.
“Sabah perlu mengambil peluang ini untuk memanfaatkan potensi besar dalam sektor maritim dan memastikan pembangunan ekonomi yang lebih luas dan inklusif dapat dicapai,” ujar beliau.