Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 20 Oktober 2024, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam menyaksikan komitmen serta usaha kerajaan untuk membela dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Hal ini terbukti apabila beliau menyatakan beberapa nama tempat termasuklah Lahad Datu, Kapit dan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu sebagai hasil lawatan lapangan beliau sebelum ini bagi meninjau situasi sebenar.

Demikian menurut Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), YBhg. Dato’ Haji Mohammad Sahar Mat Din semasa sesi perkongsiannya dalam program Ruang Bicara Khas: Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera di Wisma BERNAMA, semalam.

YBhg. Dato’ Haji Mohammad Sahar Mat Din berkata,

Secara umumnya, kita melihat dalam usaha kerajaan untuk membela golongan yang tercicir dan rakyat marhaen, ruang yang sama juga diberikan kepada komuniti perniagaan untuk membolehkan mereka mencipta peluang dan kekayaan dengan dasar yang diperkenalkan.

Selain itu, peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2025 bertujuan untuk melaksanakan kajian secara mendalam dan melihat semula amalan dalam sistem kewangan atau perbankan Islam negara. Hal ini memperlihatkan bahawa Malaysia sebenarnya menjadi peneraju dan pelopor sistem tersebut.

Ujar beliau,

Saya yakin di sebalik isu yang disebutkan oleh Perdana Menteri menunjukkan keprihatinan beliau terhadap tekanan yang dihadapi oleh peminjam rumah.

Jadi, beliau melihat bahawa suatu tindakan perlu dibuat bagi memastikan isu yang melibatkan pinjaman perumahan melalui produk perbankan Islam itu dibuat kajian.

Menurut beliau, konsep al-musyarakah yang disebut dalam pembentangan belanjawan tersebut melibatkan perkongsian ekuiti dan pendekatan yang diperkenalkan sangat murni dan tepat pada masanya. Hal ini demikian kerana hutang isi rumah rakyat Malaysia yang terdiri daripada pinjaman rumah, pinjaman kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi adalah sebanyak RM1.2 trilion, iaitu hampir sama dengan hutang kerajaan.

Jelas beliau,

Dalam konteks negara ASEAN, Malaysia merupakan negara kedua selepas Thailand yang mempunyai pinjaman isi rumah sebanyak 89 peratus. Hal ini bermakna jika gaji yang diperoleh adalah sebanyak RM1000, maka pinjaman sebanyak RM890 digunakan untuk membayar pembiayaan perumahan.

Rakyat Malaysia secara purata menggunakan 60 peratus daripada pendapatan mereka untuk membayar pembiayaan perumahan. Isu ini merupakan suatu yang sangat dekat dengan rakyat.

Belanjawan 2025 dilihat amat menarik kerana kerajaan melihat wakaf sebagai instrumen ekonomi yang berkesan dan perlu diperkasakan. Hal ini demikian apabila Kumpulan Wang Persaraan yang memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta bagi membangunkan rumah kediaman untuk warga emas dan pesara serta peruntukan dana sebanyak RM200 juta kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) bagi pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah wakaf.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh jumlah pesara yang tidak memiliki rumah agak besar berikutan mereka mendiami kuarters kerajaan ketika bekerja sebelum ini.

Oleh sebab itu, pendekatan wakaf boleh dilaksanakan di tanah sedia ada. Hal ini menjadikan harga rumah lebih rendah kerana tidak melibatkan kos tanah dan memberikan keselesaan kepada rakyat untuk memiliki rumah.

Tambah beliau,

Sebenarnya wakaf boleh dikembangkan lagi dalam bentuk yang lain pada masa akan datang. Kerajaan boleh memperkenalkan kaedah baharu dalam konteks wakaf korporat kerana pada setiap tahun, belanjawan mempunyai defisit fiskal dan penyelesaian serta pendekatan baharu perlu diusahakan.

Di samping itu, keupayaan negara untuk bergerak ke hadapan bergantung pada bidang keusahawanan dan perniagaan kerana sektor perkhidmatan awam hanya menyumbang sebanyak 17.4 peratus dalam peluang pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bahkan, Perdana Menteri telah memberikan mandat yang penting terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memainkan peranan dalam pemerkasaan bidang keusahawanan demi melahirkan usahawan yang berprestasi tinggi serta memberikan impak terhadap ekonomi negara.

“Dana modal teroka sebanyak RM300 juta daripada Khazanah Nasional Berhad juga memberikan pendekatan yang lebih strategik untuk melahirkan usahawan baharu melalui konsep intrapreneur, iaitu usahawan yang bekerjasama dengan GLC atau GLIC untuk membangunkan perniagaan,” ujar beliau lagi.

Kredit Foto: Facebook - Bernama TV
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi