Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan pembangunan terbesar berbanding dengan 28 buah kementerian lain, iaitu sebanyak RM9.327 bilion dalam Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Ahmad Maslan berkata demikian dalam program Ruang Bicara: Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera di Wisma BERNAMA, semalam.
Menurut beliau, jumlah tersebut tidak termasuk projek daripada kementerian lain yang diserahkan dan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
YB Datuk Seri Ahmad Maslan berkata,
Jumlah secara terperinci, yakni perbandingan antara tahun 2024 dengan tahun 2025, kalau dilihat memang terdapat pertambahan daripada RM9.51 bilion kepada RM10.34 bilion, lebih kurang RM840 juta pertambahan untuk KKR.
Selain itu, beliau menekankan pengamalan “Strategi 5K” dalam KKR bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2025 dapat dipenuhi, iaitu kesejahteraan rakyat, kepantasan tindakan, kos yang munasabah, kualiti terjamin dan kebitaraan inovasi.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berada pada kedudukan pertama menerima peruntukan paling tinggi dalam Belanjawan 2025, iaitu sebanyak RM64 bilion yang merangkumi RM57 bilion bagi belanja pengurusan dan RM6.3 bilion untuk belanja pembangunan.
“Perkara ini disebabkan belanja pengurusan di bawah KPM diperuntukkan untuk menampung pembayaran emolumen kepada 420 ribu orang guru di seluruh negara berbanding dengan KKR yang hanya diperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk membayar emolumen staf JKR dan KKR” hurainya lagi.
Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa Sabah dan Sarawak kekal menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2025 kerana keluasan Sarawak hampir dengan Semenanjung Malaysia, manakala Sabah mempunyai kawasan yang amat luas yang perlu diberikan perhatian.
Malah, peruntukan besar diperuntukkan bagi pembangunan negeri Sabah yang diuruskan oleh KKR melalui JKR Sabah yang bernilai RM40 bilion pada ketika ini.
“Sebanyak RM13 bilion diperuntukkan untuk empat buah kementerian seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, KKR dan KPM, manakala RM26.6 bilion untuk pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Pakej 1A dan Pakej 1B.
Ujar beliau,
Saya difahamkan bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak hampir 99 peratus sudah siap dilaksanakan dan dijangkakan siap sepenuhnya pada bulan 11 ini (akan) seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025.
Tetapi di Sabah, Rakan Pelaksana Projek (PDP) telah dihentikan dan kemudiannya diambil alih oleh JKR, maka projek tersebut terlewat selama dua tahun.
Jelas beliau lagi,
Tidak ada kekuatan JKR Negeri untuk mengendalikan (projek tersebut) berbanding dengan PDP yang asalnya (mengikut) pada model asal, namun sekarang ini kita cuba menyegerakannya. Pakej 1B telah diumumkan dan Pakej 1A telah berjaya disiapkan lebih kurang 79 peratus.
KKR juga tekad untuk menyegerakan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah walaupun dijangkakan terpaksa memakan masa sehingga enam tahun untuk menyiapkannya secara keseluruhan.
Dalam perbincangan ini juga, YB Datuk Seri Ahmad Maslan turut menyentuh kepentingan meningkatkan aras lantai dan aras siling ekonomi negara dalam pembentangan Belanjawan 2025 dari segi pelaburan dan reformasi ekonomi.
Beliau juga berkongsikan beberapa pencapaian ekonomi negara seperti kadar pertumbuhan ekonomi pasa suku tahun kedua mencapai 5.9 peratus , penurunan kadar pengangguran daripada 3.4 peratus kepada 3.2 peratus, kadar inflasi mereda kepada 1.9 peratus, Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 3.0 peratus dan pengurangan unjuran defisit fiskal negara daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus.