Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan kerjasama Kementerian Kewangan sedang dalam perbincangan bagi mempermudah pekebun kecil meningkatkan pengeluaran penanaman semula sawit melalui penambahbaikan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula 2.0 (TSPKS 2.0).

“Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi program TSPKS 2.0 untuk pekebun kecil,” ujar Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Penanaman semula ini lebih tertumpu pada program tanam semula sawit bagi pokok sawit yang menua, iaitu berumur lebih daripada 25 tahun dan tidak lagi produktif. Inisiatif penanaman semula amat penting bagi memastikan hasil sawit tidak terjejas akibat daripada pokok-pokok sawit yang telah menua.

“Negara kita pernah menuai hasil sawit sebanyak 20 juta tan metrik namun pada hari ini, pengeluaran sawit negara menguncup kepada 18.6 juta tan metrik. Hal ini demikian kerana usaha penanaman semula dilakukan secara tidak sistematik,” terang YB Datuk Seri Johari dalam sesi pagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Bentuk dana yang disediakan dalam program TSPKS 2.0 terdiri daripada komponen geran sebanyak 50% dan sebahagian lagi adalah pembiayaan dalam bentuk pinjaman kepada pekebun kecil persendirian sebanyak 50%. Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan ini akan disalurkan sepenuhnya oleh pihak Agrobank.

Pada tahun ini, kerajaan telah menyasarkan kawasan tanaman semula seluas 5,900 hektar untuk tanaman semula sawit. Sehingga 11 Oktober 2024, kerajaan telah menerima permohonan daripada 2,311 pekebun kecil sawit yang merangkumi sekitar 7,699 hektar. 

“Daripada jumlah ini, kerajaan telah meluluskan permohonan 1,165 pekebun kecil sawit dengan keluasan 3,378 hektar yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM52.9 juta. Pemohonan yang selebihnya masih dalam proses kelulusan,” ujar baliau.

Sehingga hari ini, penanaman semula untuk pekebun kecil adalah sekitar 0.2 peratus dibandingkan dengan standard yang perlu dibuat, iaitu empat peratus setahun. Kadar penanaman semula sebelum ini bagi tempoh 2014-2023 agak rendah, iaitu pada 1.8 peratus setiap tahun.

Usaha penanaman semula tidak terhad kepada pekebun kecil sawit. Namun begitu, bagi pekebun-pekebun yang tidak dikategorikan sebagai pekebun kecil, banyak insentif lain yang disalurkan oleh kerajaan seperti elaun pelaburan.

“Insentif ini khas untuk pekebun kecil sawit sahaja. Peralihan daripada tanaman getah kepada sawit tidak termasuk dalam skop insentif ini. Kerajaan juga tidak menggalakkan penukaran ladang getah kepada sawit kerana hasil tanaman getah masih juga diperlukan,” tambah beliau.

Kredit Foto: Media Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi