Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memperkenalkan asas pengiraan baharu Kadar Sara Diri (SSR) dan Penggunaan Per Kapita (PCC) beras selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Menurut KPKM, pengiraan ini merujuk dokumen yang dikeluarkan oleh FAO, iaitu Food Balance Sheets – A Handbook, 2001 dan Guidelines for the Compilation of Food Balance Sheet, 2017 dalam menentukan konsep dan definisi yang diguna pakai dalam pengiraan SSR dan PCC beras mulai tahun ini.
Menerusi kaedah baharu ini, pihak KPKM telah melaraskan asas pengiraan pengeluaran padi pada tahun 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras sahaja.
Menurut KPKM lagi, pengiraan ini tidak termasuk jumlah pengeluaran padi yang dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun yang sama selain kaedah ini turut mengekalkan kadar faktor penukaran padi kepada beras yang digunakan pada masa ini mengikut zon, iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan masing-masing pada kadar 70 peratus, 63 peratus dan 60 peratus.
KPKM turut memuktamadkan jumlah stok kecemasan beras bagi tahun 2023 dengan jumlah 240,233 tan metrik bagi stok dagangan dan 40,000 tan metrik bagi simpanan stok.
Sehubungan itu, melalui pelarasan semula pengiraan SSR dan PCC beras pada tahun 2023, SSR beras ialah 56.2 peratus (kaedah baharu), manakala PCC beras pula ialah 76.7 kg/tahun (kaedah baharu).
KPKM berkata, data ini menunjukkan penurunan pengeluaran padi sebanyak 4.7 peratus, iaitu 2,281,736 tan metrik pada tahun 2022 kepada 2,175,097 tan metrik pada tahun 2023.
Keadaan ini turut menyebabkan pengeluaran beras turun kepada 1,503,151 tan metrik atau 4.6 peratus pada tahun 2023 berbanding dengan 1,574,956 tan metrik pada tahun 2022.
Pengurangan ini disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi produktiviti padi dan beras negara.
KPKM berkata, pihaknya akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kadar SSR beras antaranya melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan kerajaan negeri.