Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangVientiane – Malaysia secara rasmi menerima tugas selaku Pengerusi ASEAN 2025 pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Kepemimpinan ASEAN kepada Malaysia, semalam.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran Facebook menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Lao PDR sepanjang mempengerusikan ASEAN pada tahun ini.
Malaysia mengambil alih kepemimpinan ini dengan memilih tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan aspirasi kemajuan bersama tanpa ada yang tercicir.
Beliau berkata, “Tahun 2025 menandakan satu detik penting bagi ASEAN, iaitu meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, dan memperkenalkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.”
“Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, memperkukuh dan memperluas kerjasama ekonomi serantau, termasuk menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China pada tahun 2025,” ujar beliau.
Tambah beliau, ASEAN akan berpegang teguh kepada prinsip memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang aman dan makmur di bawah kepengerusian Malaysia. Malaysia menantikan kerjasama serta sokongan rakan-rakan ASEAN lain sewaktu kepengerusian Malaysia tahun depan.