Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan – Operasi Banci Pertanian 2024 di Sabah telah mencapai kemajuan yang signifikan dengan 105.7 peratus daripada 251, 556 buah tempat kediaman dan 91.4 peratus daripada 2,316 pertubuhan yang berpotensi melaksanakan aktiviti pertanian telah dilawati sehingga 6 Oktober 2024.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah dalam satu kenyataan, hasil daripada lawatan tersebut, sebanyak 247, 743 buah tempat kediaman pertanian, iaitu 98.5 peratus dan 890 pertubuhan pertanian, iaitu 28.4 peratus telah selesai dibanci.
Daerah Kinabatangan mencatatkan pencapaian operasi tertinggi sebanyak 158.2 peratus diikuti oleh Lahad Datu (139.8%), Pitas (126.9%), Putatan (126.4%), dan Kudat (124.1%).
DOSM Sabah berkata, statistik ini mencerminkan kerjasama dan dedikasi luar biasa yang ditunjukkan oleh pembanci serta pihak berkepentingan dalam memastikan kejayaan Banci Pertanian 2024.
Sementara itu, Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sama berkata, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan kukuh dan kerjasama erat daripada semua pihak.
Tambah beliau, hasil Banci Pertanian 2024 akan menjadi penanda aras penting bagi merangka dasar yang lebih efektif serta memastikan pengusaha pertanian menerima manfaat yang sewajarnya.
Oleh itu, katanya, semua pihak yang terlibat di seluruh negara diseru memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang bakal berakhir dalam beberapa hari lagi.
DOSM Sabah memaklumkan Banci Pertanian 2024 yang sedang dilaksanakan oleh DOSM sejak 7 Julai lalu kini hampir berada di penghujung dengan berbaki tiga hari lagi operasi di lapangan.
Tempoh fasa akhir ini adalah kritikal bagi memastikan pengumpulan maklumat pengusaha pertanian yang melibatkan empat subsektor utama, iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan dapat diliputi sepenuhnya.
Sektor pertanian memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri, terutamanya dalam mengurangkan defisit perdagangan dan meningkatkan taraf sosioekonomi kawasan luar bandar.
Sektor ini juga memastikan keterjaminan makanan dan penambahbaikan tahap sara diri, seterusnya mengurangkan pergantungan negara pada import pertanian.
Sektor pertanian di Sabah merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sabah sebanyak 15.2 peratus dengan subsektor tanaman terus mendominasi melalui sumbangan sebanyak 76.0 peratus, diikuti oleh subsektor perikanan (14.7%), ternakan (6.0%) serta perhutanan dan pembalakan (3.3%).
Jumlah pekerja yang terlibat dalam sektor pertanian di Sabah ialah seramai 410, 100 orang.