Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyumbang sebanyak RM30 ribu kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Kuantan dalam bentuk peralatan dan keperluan sukan serta wang tunai untuk dimanfaatkan oleh para penghuninya menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Program CSR yang bertemakan “Sukan dan Keceriaan” ini merupakan satu daripada pengisian sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2024 yang bakal diadakan pada 7 November 2024.
Bersempena dengan program tersebut, HASiL dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri telah menyantuni 41 orang kanak-kanak istimewa di PPDK.
Sebanyak RM15 ribu daripada bantuan tersebut merupakan sumbangan ikhlas daripada warga HASiL seluruh Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) dan turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan HASiL.
Program CSR ini berupaya untuk memupuk nilai kerjasama serta membina interaksi yang positif dalam kalangan para penghuninya menerusi aktiviti riadah dengan akses kemudahan dan peralatan yang lebih baik.
Sebagai sebuah agensi yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat, HASiL memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bagi memperkasakan golongan yang kurang bernasib baik.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha HASiL untuk mendekati komuniti di samping membantu meningkatkan kesejahteraan serta memperkukuh hubungan antara HASiL dan masyarakat.