Diterbitkan pada 2 Oktober 2024, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pengumuman Oracle untuk membuka pusat awan awam pertama di Malaysia dengan pelaburan bernilai USD6.5 bilion.

Keputusan syarikat itu mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat global terhadap potensi Malaysia sebagai hab yang menyokong infrastruktur awan serta pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan di rantau ini.

Dasar yang jelas dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya menarik pelaburan besar daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft dan Google.

Setakat ini, nilai keseluruhan projek yang diumumkan oleh kesemua syarikat dianggarkan USD16.9 bilion bersamaan dengan RM70.3 bilon.

Perdana Menteri menekankan bahawa tenaga kerja dan syarikat tempatan harus merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan ini.

Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut, saya menekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada negara, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti kecerdasan buatan dan pemerkasaan kumpulan masyarakat. Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi MADANI akan dapat dicapai.

Pelaburan Oracle ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu dalam bidang perisian, analisis data dan keselamatan siber, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan profesional mahir yang berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi