Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong XVII pada 20 Julai 2024.
Dalam satu kenyataan, BNM mengumumkan bahawa duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam tiga denominasi, iaitu Duit Syiling Peringatan Emas (pruf), Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).
Duit syiling pruf emas diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 8 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM3,250 sekeping. Sejumlah 300 keping telah ditempa.
Duit syiling pruf perak sterling diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 31 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,300 keping telah ditempa.
Duit syiling emas Nordic B.U. ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.
Duit syiling peringatan ini juga turut dijual sebagai set dua-dalam-satu yang mengandungi sekeping duit syiling perak sterling dan sekeping duit syiling emas Nordic. Harga jualan setiap set ialah RM330. Sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian.

Di bahagian hadapan syiling, potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.
Nama baginda “SULTAN IBRAHIM” pula tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling.

Di bahagian belakang syiling, jata Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.
Teks “PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII” tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini pula dipaparkan pada sekeliling bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka “100 RINGGIT” bagi emas (pruf), “10 RINGGIT” bagi perak sterling (pruf) dan “1 RINGGIT” bagi emas Nordic B.U.
Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu set dua-dalam-satu, satu keping duit syiling emas (pruf), satu keping duit syiling perak sterling (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).
Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my bermula pada jam 11:00 pagi pada 2 Oktober 2024 sehingga jam 11:00 malam pada 13 Oktober 2024.
Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.