Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia komited untuk memastikan produk agrikomoditi serta rantaian bekalan komoditi yang dihasilkan oleh negara adalah mampan dan bertaraf antarabangsa.
Komitmen jitu tersebut hasil daripada Mesyuarat Bersama Exco-exco Pertanian Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Hotel Le Meridien.
Menurut kenyataan media Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), mesyuarat tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan kerjasama, program dan aktiviti dalam sektor agrikomoditi yang melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Selain itu, tujuan mesyuarat juga adalah untuk mempertingkatkan prestasi pelaksanaan dan perancangan program serta inisiatif berkaitan dengan sektor ini.
Hal ini demikian kerana sektor agrikomoditi memainkan peranan penting kepada ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dalam pengeksportan.
Sektor ini juga penting dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan peningkatan ekuiti selari dengan kemajuan negara.
Sumbangan sektor ini dapat dilihat berdasarkan prestasi pendapatan yang mencatatkan RM83.16 bilion atau sekitar 5.31% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2023.
Sektor agrikomoditi menghadapi pelbagai isu dan cabaran pada peringkat domestik dan antarabangsa yang memberikan implikasi kepada hasil agrikomoditi negeri untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa sebagai produk keluaran Malaysia.
Sebarang ketidakpatuhan terhadap piawaian serta peraturan ini akan menggugat kebolehpasaran produk agrikomoditi negara pada peringkat antarabangsa dan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pendapatan Kerajaan Negeri yang juga banyak bergantung pada sektor pertanian dan perladangan.
Oleh itu, perkara tersebut perlu dilihat dan ditangani secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dari pelbagai aspek seperti pematuhan kepada piawaian antarabangsa berhubung dengan aspek kemapanan, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, dan isu buruh paksa dan hak asasi manusia.
Isu seperti penyahhutanan, pemilikan sah ke atas tanah dan kebolehjejakan amalan buruh yang baik sering dibincangkan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas dan perlu dititikberatkan dalam memastikan kebolehpasaran produk agrikomiditi negara.
Yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Negara, YB Datuk Chan Foong Hin dan wakil dari KPK dan agensi.