Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan majalah Dewan Ekonomi (DE) mengadakan pertemuan bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang penerbitan dan pelbagai bidang lain yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, semalam.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah usaha untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua institusi melalui penerbitan artikel berkaitan dengan DPMM sebagai persatuan yang menyatupadukan peniaga dan usahawan Melayu, dan penonjolan tokoh perniagaan yang bernaung di bawah DPMM untuk diwawancara dan diterbitkan dalam majalah bercetak DE.
Selain itu, pertemuan itu turut membincangkan peranan yang boleh disumbangkan oleh DPMM dalam memperkasakan Bahasa Melayu di Malaysia dan majalah DE dalam memperjuangkan ekonomi bumiputera di Malaysia.


Dalam pertemuan tersebut, DPMM diwakili oleh Encik Mohd Rizal Jaapar, Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Encik Abdul Rahim Nor Rashid, Eksekutif Media. Pihak DBP diwakili oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, Encik M Azahari Edin; Ketua Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Editor majalah DE, Puan Siti Sarah Mohd Husin dan Penolong Editor, Encik Mohd Zuhaili Mat Junoh.
Pertemuan ini yang merupakan pertemuan pertama kali antara majalah DE dengan DPMM di bawah tampuk kepimpinan baharu Presiden, iaitu Encik Norsyahrin Hamidon akan merintis peluang untuk mencipta kerjasama seterusnya dalam bidang penerbitan pada masa akan datang.
DPMM yang ditubuhkan pada tahun 1957 di bawah nama Gabongan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM) berfungsi untuk memperjuangkan misi mengangkat maruah dan martabat bangsa Melayu dalam ekonomi negara dan antarabangsa.