Diterbitkan pada 30 September 2024, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menegaskan bahawa lebih daripada 60 semakan audit telah dijalankan oleh pihak HASiL terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), syarikat serta individu yang berkaitan dengannya bagi tahun taksiran terdahulu.

Hal ini susulan daripada penjelasan Ketua Polis Negara menerusi Kenyataan Media bertarikh 28 September 2024 berkaitan dengan “GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan” adalah merujuk kepada Tahun Taksiran (TT) terkini yang sedang disiasat oleh pihak HASiL dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

GISBH, syarikat serta individu yang berkaitan dengannya telah dikenakan tindakan kompaun dan penalti cukai bagi tahun taksiran yang diaudit. Kompaun dan penalti cukai yang dikenakan telah dibayar oleh pembayar cukai tersebut.

HASiL memandang serius isu pelarian dan ketirisan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia ke arah usaha kerajaan meningkatkan hasil negara untuk kesejahteraan rakyat.

HASiL juga giat melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan penaksiran, pengauditan, siasatan dan pemungutan dalam memastikan pematuhan cukai sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Pemantauan terhadap pematuhan cukai GISBH, syarikat serta individu yang berkaitan dijalankan secara berterusan seperti mana pembayar cukai yang lain. HASiL ingin menegaskan bahawa tiada layanan istimewa diberikan kepada pembayar cukai tersebut.

Kerjasama pihak HASiL dengan PDRM adalah bertujuan untuk melengkapkan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan dengan isu percukaian bagi TT terkini.

Tindakan pendakwaan dan penalti di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Oleh itu, usaha membanteras ketidakpatuhan cukai akan terus dilakukan oleh HASiL agar dapat memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi