Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBerlin – Lebih 700 buah syarikat industri Jerman kini beroperasi di Malaysia yang kebanyakannya menjalankan operasi kilang pengeluaran dan mengeksport barangan ke seluruh dunia, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman di rantau ASEAN dan Jerman juga menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.
Pada tahun 2023, Jerman menjadi rakan dagangan global ke-13, destinasi eksport ke-14 dan sumber import ke-11 terbesar Malaysia.
Jumlah nilai perdagangan antara dua negara ini berjumlah USD13.90 bilion, iaitu anggaran RM63.45 bilion.
Demikian menurut kenyataan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) seperti yang diimaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Jerman, TYT Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda berangkat ke Berlin, Jerman, baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat bagi menghadiri Pameran InnoTrans 2024 bersempena dengan pemeteraian perjanjian persefahaman antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. dengan Siemens Mobility Sdn. Bhd.
Di kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan “Bantuan Ibnu Sabil” berjumlah RM5000 daripada MAIPs kepada Kedutaan Malaysia di Jerman.
Tabung Ibnu Sabil MAIPs merupakan sumbangan kepada beberapa buah Pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara yang bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab MAIPs dalam agihan Ibnu Sabil dan inisiatif pengantarabangsaannya.