Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepuasan bekerja antara elemen yang sering diabaikan dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan tenaga kerja pada masa kini. Dalam konteks masyarakat madani yang berdaya saing, kepuasan kerja bukan sahaja memberikan manfaat kepada individu, tetapi juga kepada organisasi dan negara secara keseluruhan.
Malaysia telah melaksanakan pelbagai reformasi dan dasar seperti Dasar Produktiviti Negara (NPD), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) serta Dasar Ekonomi MADANI untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti tenaga kerja. Semua dasar ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang memuaskan, seterusnya meningkatkan produktiviti dalam kalangan masyarakat madani.
Dalam era globalisasi, daya saing sesebuah negara bergantung pada keupayaan tenaga kerja untuk terus berinovasi. Oleh itu, kesejahteraan emosi dan mental pekerja menjadi asas utama kepada keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar ini. Apabila pekerja berasa seronok, mereka cenderung untuk memberikan prestasi yang terbaik dalam setiap tugasan.
Pertamanya, keseronokan bekerja dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja. Apabila individu merasai keseronokan dalam melaksanakan tugas yang diberikan, mereka lebih terdorong untuk memberikan prestasi yang terbaik. Selain itu, pekerja yang berpuas hati cenderung untuk kekal dalam organisasi, seterusnya mengurangkan kadar peletakan jawatan. Kestabilan tenaga kerja ini menyumbang kepada kesinambungan projek dan peningkatan kecekapan dalam jangka panjang. Dalam erti kata lain, persekitaran kerja yang menyeronokkan berupaya membekalkan motivasi kepada para pekerja sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan yang berkualiti. Secara ringkasnya, faktor ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang berkekalan, kerana produktiviti dan kecekapan yang lebih tinggi bakal memperkukuh ekonomi negara secara komprehensif.
Di samping itu, keseronokan bekerja turut meningkatkan kepuasan kerjaya. Kepuasan kerjaya bukan sahaja diperoleh daripada pencapaian material, tetapi juga daripada perasaan bangga dan seronok dalam menjalankan tugas. Rancangan Malaysia ke-12 menekankan peningkatan kemahiran tenaga kerja melalui latihan dan pendidikan yang lebih baik, disokong oleh Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang mempromosikan pendigitalan dan peningkatan kemahiran digital dalam kalangan pekerja. Prinsip keadilan sosial dalam Malaysia MADANI memastikan semua pekerja mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kepuasan kerjaya melalui akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti.
Dalam jangka panjang, kepuasan kerjaya yang tinggi ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan psikologi individu, tetapi juga menjadikan mereka lebih komited dalam melaksanakan tugas. Tambahan pula, kepuasan kerjaya sering dikaitkan dengan peningkatan motivasi intrinsik, menjadikan pekerja lebih berdedikasi dan proaktif. Kepuasan ini juga boleh mengurangkan tekanan dan keletihan, menjadikan pekerja lebih berdaya tahan mengharungi cabaran pekerjaan. Implikasinya, dengan meningkatkan kepuasan kerjaya, organisasi dapat membina tenaga kerja yang lebih berdedikasi dan berdaya saing.
Seterusnya, keseronokan bekerja menggalakkan inovasi dan kreativiti. Dalam suasana kerja yang menyenangkan, individu lebih cenderung untuk berfikir secara kreatif dan meneroka pendekatan baharu. Selari dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), sokongan berkenaan menjurus kepada penggunaan teknologi canggih seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI), yang membuka peluang untuk inovasi.
Prinsip inovasi dan teknologi dalam Malaysia MADANI juga memajukan teknologi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, memastikan tenaga kerja terus berkembang dan berinovasi. Sebagai contoh, dalam konteks akademik, suasana kerja yang positif ini mendorong pensyarah dan penyelidik untuk memperkenalkan kaedah pengajaran dan bidang kajian yang lebih inovatif, menjadikan institusi pendidikan semakin relevan dan kompetitif pada peringkat global. Inovasi dan kreativiti juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan penyelesaian kepada masalah baru yang timbul akibat perubahan dinamik dalam dunia pekerjaan. Oleh itu, persekitaran kerja yang menyenangkan membolehkan potensi pekerja terus berkembang dan memotivasikan mereka untuk terus menggali ilmu sepanjang perkhidmatan mereka. Dengan inovasi yang berterusan, organisasi dapat merancakkan aktiviti ekonomi dan mengekalkan kualiti mereka di pasaran global.
Yang berikutnya, keseronokan bekerja mempertingkatkan hubungan professional dalam organisasi. Suasana kerja yang menyenangkan sering kali mencipta hubungan yang lebih baik antara rakan sekerja dan pihak pengurusan. Dasar Pembangunan Keusahawanan Nasional (DKN) menyokong pembangunan usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menyediakan pembiayaan, latihan dan akses kepada pasaran yang turut memperkukuhkan hubungan profesional dalam sektor perniagaan.
Bukan itu sahaja, prinsip pembangunan inklusif dalam Malaysia MADANI memastikan pembangunan ekonomi melibatkan semua sektor masyarakat, sekali gus memperkukuhkan hubungan profesional pada semua peringkat. Hubungan yang baik ini penting dalam membina sinergi dan kerjasama strategik, seterusnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti organisasi. Hubungan profesional yang kukuh juga menjadikan tempat kerja lebih inklusif dan harmonis. Dengan komunikasi yang lebih terbuka dan telus, masalah dalam organisasi dapat diselesaikan dengan lebih efisyen. Sebagai hasilnya, dalam suasana kerja yang lebih positif, risiko lesu upaya (burnout) dapat dikurangkan seterusnya meningkatkan tahap profesionalisme pekerja dalam jangka panjang.
Tuntasnya, keseronokan bekerja merupakan prasyarat utama dalam usaha menjana produktiviti dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat madani. Dengan sokongan pelbagai dasar termasuklah Dasar Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang merangkumi kesejahteraan ekonomi, keadilan sosial, inovasi dan pembangunan modal insan yang inklusif, negara bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja, tetapi juga membina masyarakat yang lebih berinovatif, kreatif dan berdaya saing dalam acuan sendiri. Dalam konteks akademik khususnya, keseronokan bekerja adalah pemangkin kepada transformasi yang lebih tinggi dan menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan yang relevan serta bermanfaat kepada masyarakat. Realitinya, keseronokan bekerja bukan sekadar memberikan manfaat kepada individu tetapi juga kepada bangsa dan negara, menjadikan Malaysia lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Dengan pendekatan holistik, keseronokan bekerja berpotensi menjadi asas kepada perubahan positif dalam masyarakat secara keseluruhan dan mengukuhkan Malaysia sebagai negara yang lebih makmur dan sejahtera.