Diterbitkan pada 23 September 2024, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin berkata, eksport lada Malaysia meningkat kepada RM86.4 juta bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini berbanding dengan RM80.2 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Jelas beliau, 50 peratus daripadanya dieksport ke Jepun kerana Jepun merupakan pasaran tradisional memandangkan lada Malaysia mempunyai kepedasan berlainan daripada negara lain.

Nilai perdagangan lada Malaysia ke Singapura menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan nilai RM8.20 juta atau 368.15 tan bagi tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding dengan RM5.86 juta atau 288.44 tan pada tahun 2023.

“Selain Jepun, negara-negara utama lain yang menyumbang kepada eksport termasuklah China, Korea Selatan dan Sweden,” katanya dalam Majlis Perasmian Kempen Penggunaan Lada Malaysia 2024 pada 20 September 2024 yang lalu.

Menurutnya, Singapura juga merupakan rakan dagang utama dalam sektor lada negara dan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, berdasarkan faktor hubungan perdagangan, geografi dan ekonomi.

Beliau juga menyatakan bahawa kawasan tanaman lada di seluruh negara telah meningkat daripada 8,172 hektar tahun lalu kepada 8,215 hektar pada tahun ini.

“Jumlah pekebun juga telah meningkat kepada 39,137, berbanding dengan 38,986 tahun sebelumnya, yang menunjukkan bahawa industri lada terus berkembang pesat melalui usaha berterusan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Lembaga Lada Malaysia,” katanya.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi