Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia secara rasmi meratifikasi penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 17 September, sekali gus menandakan perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama negara ini dengan UK.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini, langkah ratifikasi itu akan membolehkan eksport Malaysia mendapat manfaat daripada pengecualian cukai untuk 94 peratus garis tarif, terutama bagi produk minyak sawit, koko, getah, elektrik dan elektronik, bahan kimia serta mesin dan peralatan.
Perjanjian itu juga meningkatkan lagi nilai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) blok CPTPP kepada AS$15.4 trilion atau 15 peratus daripada KDNK global selain memperhebat kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz dalam kenyataan sama berkata, Malaysia mengalu-alukan penyertaan UK dalam “keluarga” CPTPP.
Sebagai perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama Malaysia dengan UK, kita yakin eksport Malaysia akan mendapat akses lebih baik ke pasaran UK dengan nilai ekonominya melebihi AS$4 trilion pada tahun 2023.
Beliau menyifatkan keanggotaan Malaysia dalam CPTPP yang dianggap sebagai piawaian emas bagi perjanjian perdagangan, akan meningkatkan lagi daya saing negara dengan ketara.
Jelas beliau lagi,
Pada masa yang sama, ini dapat mengukuhkan keyakinan pelabur dan meningkatkan integrasi dengan lebih baik ke dalam rantaian bekalan global bagi pengeksport Malaysia.
Perjanjian tersebut dijangka berkuat kuasa menjelang akhir tahun 2024 bagi UK dan negara yang telah meratifikasi dokumen itu.
Menerusi pemakluman itu juga, Malaysia menyertai enam lagi negara yang telah menyelesaikan proses ratifikasi di peringkat negara iaitu Jepun, Singapura, Chile, New Zealand, Vietnam dan Peru.
Selain Malaysia, negara-negara ahli CPTPP lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.