Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 20 September 2024, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) melancarkan jalinan pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan antara Kemboja dan Malaysia, semalam. Inisiatif ini membolehkan pengguna dan peniaga di kedua-dua buah negara membuat serta menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata.

Dalam kenyataan bersama BNM dan NBC, projek ini susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kedua-dua bank pada Februari tahun ini, bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran.

Pertukaran MoU tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Kemboja, TYT Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour (ketiga dari kiri) dan Gabenor National Bank of Cambodia, TYT Dr. Chea Serey (kedua dari kiri) bersama rakan industri semasa pelancaran jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dan Kemboja.

Pelaksanaan jalinan ini akan berlaku dalam dua fasa. Fasa pertama membolehkan pengguna dari Kemboja membuat pembayaran runcit di Malaysia dengan mengimbas kod QR DuitNow yang dipaparkan oleh peniaga menggunakan aplikasi mudah alih mereka, seperti Bakong dan Maybank M2U KH.

Kejayaan pelancaran ini adalah hasil kerjasama erat antara pelbagai pihak dari kedua-dua negara, termasuk NBC, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), dan Maybank sebagai bank penaja dan penyelesaian, serta institusi kewangan lain dari kedua-dua negara.

Pada fasa kedua, pengguna Malaysia yang mengunjungi Kemboja juga akan dapat membuat pembayaran runcit di negara tersebut dengan mengimbas kod KhmerQR (KHQR) menggunakan aplikasi mudah alih institusi kewangan peserta.

Gabenor BNM, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menyatakan bahawa kerjasama ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem pembayaran runcit yang lancar dan saling berhubung antara Malaysia dan Kemboja.

Dengan menghubungkan kod QR kebangsaan, transaksi rentas sempadan antara kedua-dua negara akan menjadi lebih pantas dan cekap, memberikan manfaat besar kepada jutaan individu dan perniagaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda ekonomi digital yang lebih luas, tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi di seluruh rantau melalui kemudahan dan kecekapan pembayaran QR,” tambah beliau.

Gabenor NBC, TYT Dr. Chea Serey, turut menekankan bahawa pelancaran ini mencerminkan kerjasama erat antara kedua-dua bank pusat dan rakan usaha sama dari Malaysia dan Kemboja.

“Inisiatif pembayaran rentas sempadan ini akan merangsang aktiviti perdagangan serta memajukan rangkuman kewangan di kedua-dua negara, menandakan langkah penting ke arah mewujudkan rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap, selamat dan saling berhubung,” ujar beliau.

Jalinan pembayaran QR ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih lima juta peniaga di Kemboja dan Malaysia, terutamanya perniagaan kecil, dengan memperluaskan akses kepada pelanggan dari kedua-dua negara.

Secara keseluruhan, inisiatif ini dijangka merangsang aktiviti perdagangan, meningkatkan sektor pelancongan, serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua buah negara. Pencapaian ini turut mencerminkan visi kolektif ASEAN dan matlamat inisiatif Ketersambungan Pembayaran Rentas Sempadan (Regional Payment Connectivity) untuk integrasi kewangan serantau yang lebih besar dan pembangunan ekonomi yang bersifat terangkum.

Sebagai rekod, pelancong Malaysia di Indonesia, Singapura, Thailand, China dan Korea kini boleh menggunakan aplikasi perbankan mudah alih atau eWallet pilihan mereka untuk mengimbas kod QRIS (Indonesia), NETS (Singapura), PromptPay (Thailand), atau Alipay (China) semasa membuat pembayaran kepada peniaga.

Selain itu, pelancong antarabangsa dari negara-negara ini, termasuk Kemboja, serta pengguna Alipay+, UnionPay International, dan BC Card, juga boleh membeli-belah dan membuat pembayaran menggunakan aplikasi perbankan mudah alih serta eWallet mereka dengan mengimbas kod DuitNow QR semasa melawat Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi