Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Hari pertama Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 menyaksikan sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai dengan nilai RM21.3 juta.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), 13 MoU tersebut melibatkan kerjasama strategik antara 10 syarikat dan institusi tempatan, serta lapan syarikat dari luar negara.
“Majlis Pertukaran MOU ini dilaksanakan bertujuan bagi mengoptimumkan platform MAHA 2024 sebagai salah satu ekspo pertanian terbesar di Asia Tenggara, dengan fokus untuk menggalakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan di dalam negara dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, inisiatif ini merupakan salah satu komponen di bawah segmen MAHA Go Global, yang buat pertama kalinya diperkenal dan dilaksanakan dengan melibatkan penyertaan aktif pempamer dan pemain industri dari luar negara.
Menurut KPKM, kerjasama yang terjalin meliputi pelbagai bidang utama termasuk perkongsian teknologi, pelaburan dan perdagangan, khususnya dalam subsektor industri nanas, agroteknologi dan input pertanian.
KPKM mensasarkan sejumlah RM6.0 bilion nilai potensi pelaburan dan perdagangan secara keseluruhanya melalui pelbagai kerjasama yang dijalin sepanjang MAHA 2024.