Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Sebanyak 445 premis perniagaan di Melaka dan Seremban menjadi fokus utama dalam Operasi Pematuhan Khas bersepadu yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).
Pelaksanaan “OPS Jebat” dan “OPS Minang” selama tiga hari mulai 10 September hingga 12 September 2024 ini bertujuan untuk meningkatkan kadar literasi pematuhan cukai secara sukarela dan mengurangkan pengelakan cukai, sekali gus meningkatkan kutipan keseluruhan untuk HASiL Melaka dan Negeri Sembilan.
Sebanyak 197 pegawai dari kedua-dua buah negeri terlibat dalam operasi ini, yang melibatkan aktiviti pengauditan, pungutan, dan penguatkuasaan undang-undang di premis-premis yang dikenal pasti. Operasi yang dijalankan serentak di Melaka dan Negeri Sembilan ini merupakan program yang ke-10 selepas kejayaan “OPS Metro 2024” pada Ogos lalu.
Kedua-dua operasi ini dapat mengenal pasti sebanyak 371 kes bagi kesalahan audit, 111 kes berkaitan dengan pelanggaran undang-undang dan 103 kes melibatkan pungutan bagi kedua-dua buah negeri.
“Operasi seumpama ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan cukai yang tinggi dalam kalangan pembayar cukai, serta menggalakkan mereka membuat pelaporan kewangan dengan betul mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” ujar YBhg. Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL sewaktu menyempurnakan majlis perasmian.

Yang turut hadir ialah Pengarah HASiL Melaka, Encik Mohd Shahriz Ramli; Pengarah HASiL Negeri Sembilan, Encik Mukhtar Abdul Kadir; Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai, Puan Norfaidah Daud, serta barisan pengurusan kanan HASiL.
HASiL memandang serius sekiranya terdapat unsur pengelakan cukai dalam pelaporan sebelum ini. Hal ini bagi menangani ketirisan dan ketidakpatuhan cukai, khususnya di Melaka dan Negeri Sembilan, secara optimum demi menyokong kemajuan dan kesejahteraan negara.
Untuk merealisasikan hasrat ini, HASiL komited dalam meningkatkan moral cukai yang tinggi agar rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dan menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi menuju status negara maju.