Diterbitkan pada 10 September 2024, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan RM6 bilion nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) akan dimeterai pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang akan berlangsung bermula 11 September 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, MAHA 2024 pada kali ini turut menyasarkan RM40 juta nilai jualan langsung, RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan melalui jangkaan 4,000 permohonan dan 10 juta capaian media.

MAHA 2024 juga diharap akan menjadi platform untuk mengeksplorasi potensi dan inovasi sektor pertanian yang bukan sahaja maju dan berteknologi tinggi, malah berdaya saing serta mampan dalam memacu ekonomi negara.

MAHA 2024 tampil dengan tema “Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom,” yang mencerminkan aspirasi dan matlamat KPKM untuk menuai kejayaan pada masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini.

Selain itu, MAHA 2024 juga akan memberikan penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan pelibatan dan penyertaan daripada pelbagai negara menerusi segmen MAHA Go Global.

“KPKM telah mempromosikan MAHA Go Global kepada negara-negara luar untuk turut serta mempamerkan teknologi pertanian, memadan perniagaan bersama-sama usahawan tempatan di samping membuka peluang potensi pelaburan kepada sektor agromakanan negara,” jelas beliau.

Tambah beliau, MAHA Go Global bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport dan menggalakkan inovasi. Perkara ini merupakan platform yang berharga untuk pemain industri bagi membina rangkaian dan meneroka peluang perniagaan baharu.

MAHA 2024 akan menampilkan 48 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan dengan rantaian nilai agromakanan.

Beliau berharap MAHA 2024 dapat memberikan peluang dan ruang kepada peladang, penternak dan nelayan menerusi pemerhatian dan pembelajaran dalam teknologi baharu pertanian, mencari ruang pasaran, mempamer serta mempromosi produk masing-masing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi