Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga HASiL Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melancarkan operasi bersepadu Ops Metro 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula 19 Ogos 2024 hingga 22 Ogos 2024.
Objektif Ops Metro 2024 adalah untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai secara menyeluruh dari segi pendaftaran fail cukai pendapatan, penghantaran borang cukai, pelaporan cukai dan bayaran cukai.
Lima aktiviti operasi percukaian utama menjadi fokus yang ditekankan meliputi aktiviti audit, siasatan, pungutan, guaman dan Lawatan Banci Bisnes (LBB).

Pihak JKDM akan memberikan tumpuan kepada aktiviti LBB yang menyasarkan pembesaran asas percukaian termasuk mengenal pasti penyedia perkhidmatan yang berpotensi untuk didaftarkan manakala HASiL akan mengenal pasti pembayar cukai yang menjalankan ekonomi tunai (cash economy) dan warga asing yang menjalankan perniagaan.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL menzahirkan ucapan terima kasih kerana operasi ini mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada pihak JKDM.
Kerjasama strategik dua agensi penting ini mampu menghasilkan impak besar terutamanya dalam aktiviti penguatkuasaan serta pematuhan cukai secara bersama demi meningkatkan hasil negara.

Pelaksanaan program kolaboratif HASiL bersama-sama JKDM ini merupakan siri kedua selepas Ops Gading yang telah diadakan di negeri Pahang pada 31 Julai yang lalu.
Operasi ini melibatkan Jabatan Pematuhan Cukai, Jabatan Siasatan, Jabatan Perisikan dan Profiling, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Khas, Cawangan Pembayar Cukai Besar, Cawangan Guaman Lembah Klang, Cawangan Pematuhan Strategik serta pasukan pelaksana dari HASiL Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Pelaksanaan operasi pematuhan cukai ini merupakan siri kelapan dan kesinambungan kepada beberapa operasi yang telah dilaksanakan oleh HASiL sebelum ini, iaitu Ops Hidang di Pulau Pinang, Ops Borneo di Sabah dan Sarawak, Ops Zapin di Johor, Ops Gading di Pahang, Ops Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan, Ops Pantai Timur di Terengganu dan Kelantan dan Ops Mega Corp di Lembah Klang.
Sinergi serampang dua mata ini akan terus diperkukuh dalam memastikan agenda percukaian nasional dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan cukai yang akan menyumbang kepada kutipan hasil yang mampan.
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Puan Nor Anita Yusoff, wakil dari JKDM, SUPT Saiful Bakri Ahmad Tajuddin, wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta barisan pengurusan kanan HASiL dan JKDM.

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi: