Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) telah melancarkan Operasi Pematuhan Khas “Mega Corp” yang berlangsung selama dua hari dari 14 Ogos 2024 hingga 15 Ogos 2024 di sekitar Lembah Klang.
Usaha ini bagi mendukung hasrat kerajaan untuk memperkasakan undang-undang percukaian dan menambah baik pentadbiran cukai negara.
Operasi mega ini merupakan kolaboratif antara Jabatan Pematuhan Cukai dengan tiga Cawangan Khas, iaitu Cawangan Pembayar Cukai Besar, Cawangan Industri Khusus dan Cawangan Cukai Multinasional.
Sebanyak 210 orang pegawai terlibat dalam operasi ini yang diadakan bertujuan untuk memperkasakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang percukaian bagi syarikat berkategori besar, industri khusus dan multinasional.
Operasi ini juga menumpukan isu perancangan cukai agresif dan transaksi antara syarikat berkaitan dengan industri khusus.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) menyatakan bahawa HASiL akan terus meningkatkan aktiviti pematuhan secara berterusan termasuklah mengambil tindakan pendakwaan ke atas pembayar cukai yang gagal melaporkan pendapatan yang sepatutnya dan melanggar undang-undang percukaian.
Menerusi pelaksanaan operasi seumpama ini, HASiL berharap risiko ketirisan pendapatan negara dapat dibendung sekali gus menyumbang kepada kutipan cukai yang sepatutnya demi menegakkan keadilan percukaian terutamanya kepada pembayar cukai yang patuh.
Dengan pelaksanaan operasi ini, kadar pematuhan cukai khususnya dalam kalangan syarikat berskala besar dapat diperkasakan seterusnya memastikan kredibiliti sesebuah syarikat kepada undang-undang percukaian terus dipelihara demi menjamin masa depan generasi akan datang.
Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi: