Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memfokuskan untuk melahirkan tenaga kerja mahir dari golongan asnaf di negeri Perlis.
MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) telah menganjurkan pelbagai kursus latihan kemahiran industri dalam pelbagai bidang sama ada secara langsung dan tidak langsung seperti automasi industri, operasi mesin, operasi bangunan, Zero to Hero Welder, latihan mekanikal dan ujian tanpa musnah (NDT).
Pada masa kini, sekitar 1,300 orang peserta telah berada dalam pasaran pekerjaan di seluruh negara dan bersedia untuk kembali berkhidmat di negeri Perlis setelah peluang pekerjaan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) tersedia kelak.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan media MAIPs selepas baginda berkenan berangkat melawat ke Pusat Perkhidmatan Koreksional Wanita Windhoek di Namibia sempena program Safar Ilmi MAIPs baru-baru ini.

Baginda tertarik dengan kemudahan dan konsep pengajaran latihan kemahiran serta pendidikan yang dilaksanakan di Namibia yang disifatkan sebagai selesa dan seimbang dengan memberikan penekanan kepada aspek jasmani, intelek dan emosi penghuni.
Konsep penjara sebagai tempat hukuman semata-mata tidak lagi relevan pada saat keperluan tenaga produktif diperlukan di seluruh dunia.
Titah DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,
Usaha memulihkan dan mengintegrasikan semula penghuni penjara ialah usaha yang amat baik dan akan meningkatkan produktiviti sesebuah negara.
Baginda turut menyeru agar usaha yang tersusun perlu dilaksanakan bagi memastikan golongan yang berada dalam kalangan masyarakat tidak “terpenjara pada jiwa mereka” kerana ketinggalan dalam arus modenisasi pembangunan negara.
Titah DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail lagi,
Perkara negatif seperti terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah, pengabaian pelajaran dan kegagalan institusi keluarga ialah faktor penyumbang yang boleh menggagalkan gagasan untuk mewujudkan ekosistem pembangunan modal insan yang produktif dalam kalangan muda belia.
Keberangkatan DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke pusat perkhidmatan itu disambut oleh Komisioner Jeneral Perkhidmatan Koreksional Namibia ,Raphael Hamunyela dan Pengarah fasiliti berkenaan, Asisten Komisioner Julia N Nauvinga.
Turut berangkat sama dalam lawatan itu ialah anakanda baginda yang juga waris kedua negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.