Diterbitkan pada 26 Julai 2024, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengemukakan e-Invois yang disatukan dalam tempoh awal pelaksanaan e-Invois.

HASiL mengambil maklum komitmen pembayar cukai dalam mematuhi keperluan perundangan e-Invois yang memerlukan tempoh masa mencukupi, terutamanya melibatkan industri yang mempunyai persekitaran perniagaan yang mencabar dan kompleks.

Menurut HASiL, kelonggaran ini diberikan kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan bagi semua transaksi seperti yang berikut:

  1. Membenarkan semua aktiviti/industri untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan termasuk e-Invois bil kendiri;
  2. Membenarkan apa-apa uraian transaksi dimasukkan di medan “Keterangan Produk atau Perkhidmatan”; dan
  3. Jika terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli, penjual juga dibenarkan untuk hanya mengeluarkan e-Invois yang disatukan tanpa mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi.

Pihak HASiL juga mengesahkan, dalam tempoh enam bulan tersebut, tiada
tindakan pendakwaan di bawah seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap ketidakpatuhan peraturan e-Invois dengan syarat pembayar cukai mematuhi keperluan e-Invois yang disatukan seperti dinyatakan di atas.

Tempoh kelonggaran yang diberikan ini diharap akan memberi ruang masa yang
mencukupi kepada pembayar cukai untuk memastikan pelaksanaan e-Invois
sepenuhnya yang lebih efektif meliputi kesemua aspek seperti ketersediaan sistem,
kelancaran operasi perniagaan dan pengurusan perubahan dalam perniagaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau mempunyai pertanyaan mengenai pelaksanaan e-Invois, boleh menghubungi meja bantuan melalui talian 03-86828000 (talian 24 jam), myInvois Live Chat, e-mel [email protected] atau Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi