Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pembangunan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027, dilihat sebagai pemangkin utama kemajuan ekonomi di Pahang.
Sesi rundingan awam yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama pemain industri sektor logistik negeri Pahang dan Malaysia Rail Link (MRL) pada 24 Julai 2024 di Kuantan menyaksikan komitmen MRL dalam memastikan ECRL memberi impak positif kepada pembangunan kawasan terlibat.
Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan dalam kalangan pemain industri, terutamanya sektor logistik, bahawa pembangunan ECRL mungkin memperlahankan aktiviti pengangkutan darat. Mereka bimbang perubahan kepada perkhidmatan rel terutamanya pengangkutan barangan dari Pelabuhan Kuantan ke destinasi lain akan memberi kesan negatif kepada operasi logistik sedia ada.
Setakat ini, projek ECRL telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 68.68%, melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor. MRL juga menekankan bahawa projek ini akan membuka peluang besar bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Pengarah MPC Pahang, Dr. Noor Aishah binti Hassan melihat sesi rundingan awam ini perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan input dan informasi yang tepat dapat disampaikan kepada golongan yang terkesan.
”Kewujudan ECRL ini dapat meningkatkan kecekapan sektor logistik dan pengangkutan seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi sektor perkhidmatan di Pahang,” ujar beliau.
MPC mensasarkan peningkatan kepada 60% sumbangan sektor perkhidmatan melalui industri logistik kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar negeri. MPC Pahang menyokong penuh pembangunan berteknologi tinggi ini yang dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing negeri Pahang.
Sesi rundingan awam tersebut turut dihadiri oleh wakil industri tempatan termasuk Pengerusi Gebeng Industrial Support Group, Pengerusi REHDA Pahang dan Presiden FMM Wilayah Timur, yang semuanya memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini.