Oleh Firdaus Mul
17 Mac 2023, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini, rancangan siri Klinik Cukai anjuran Bernama Radio menampilkan Wan Norafidah Mahyuddin yang juga merupakan Timbalan Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membicarakan topik Surat Penyelesaian Cukai.

Beliau menjelaskan Surat Penyelesaian Cukai atau dikenali ringkasnya sebagai SPC ialah perakuan daripada HASIL kepada majikan berkaitan hal ehwal cukai pendapatan bagi pekerja yang berhenti kerja, bersara, meninggal dunia ataupun yang hendak meninggalkan Malaysia. Tambahnya lagi, SPC merupakan tanggungjawab majikan, tidak kira majikan pihak swasta ataupun majikan sektor awam yang tertakluk di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk memaklumkan kepada HASIL dalam tempoh yang telah ditetapkan sekiranya berlakunya penamatan perkhidmatan pekerja.

Kemudian, beliau menjelaskan bahawa majikan perlu memaklumkan kepada HASIL tidak kurang daripada 30 hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, atau yang akan meninggalkan Malaysia lebih daripada tiga bulan. Namun bagi kes pekerja yang meninggal dunia, pemakluman perlu dibuat dalam keadaan segera ataupun tidak lebih 30 hari selepas dimaklumkan mengenai kematian pekerja. Selain itu, majikan bertanggungjawab untuk menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran HASIL, sehingga tempoh 90 hari dari tarikh borang diterima oleh HASIL.

Tiga jenis Borang yang perlu dihantar kepada HASIL;

  1. Borang CP21 – Notis pemberitahuan kepada HASIL mengenai pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia.
  2. Borang CP22a – Notis makluman kepada HASIL berkaitan pemberhentian pekerja swasta.
  3. Borang CP22b – Notis makluman kepada HASIL berkaitan pemberhentian pekerja agensi kerajaan.

Tujuan SPC dibuat adalah untuk memastikan rekod pecukaian pekerja berada dalam keadaan teratur. Apabila kami menerima permohonan SPC, pihak HASIL akan menyemak rekod percukaian pekerja untuk penentuan audit. Sekiranya perlu melakukan audit, HASIL akan mengeluarkan surat untuk mendapatkan dokumen yang berkaitan pekerja dan membuat semakan.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan majikan boleh disabitkan kesalahan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan jika gagal mematuhinya. Kelewatan ataupun kegagalan mengemukan borang CP21 atau CP22a atau CP22b tanpa alasan yang munasabah merupakan satu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM20 000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya di bawah Subseksyen 120 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967. Majikan bertanggungjawab untuk membayar amaun penuh cukai yang perlu dibayar oleh pekerjanya. Amaun perlu dibayar oleh majikan merupakan satu hutang kepada kerajaan dan boleh dituntut melalui tindakan sivil.

Beliau juga turut menegaskan bahawa golongan pekerja bertanggungjawab memastikan pendapatan yang diterima berhubung dengan satu penggajian dilaporkan dengan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya pekerja tidak memilih potongan cukai bulan sebagai cukai muktamad. Pekerja juga disarankan menyemak rekod pematuhan cukai terlebih dahulu sebelum majikan mengemukan permohonan SPC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.