Diterbitkan pada 24 Julai 2026, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan Malaysia mencatat kejayaan dalam penerbitan Sukuk Global berdenominasi dolar Amerika Syarikat (USD) berjumlah USD1.5 bilion apabila merekodkan lebihan langganan sebanyak 4.7 kali dengan jumlah permintaan melebihi USD9.5 bilion.

Kejayaan itu membolehkan harga akhir ditetapkan pada kadar spread terendah pernah dicatatkan bagi terbitan Sukuk Global Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan agenda pembaharuan fiskal negara.

Terbitan tersebut merangkumi dua tranche, iaitu USD850 juta bagi tempoh matang 5.75 tahun dan USD650 juta bagi tempoh matang 10 tahun. Permintaan yang kukuh membolehkan kerajaan menetapkan harga akhir 30 mata asas lebih rendah daripada Panduan Harga Awal (IPG) pada T+15 mata asas bagi tranche 5.75 tahun dan T+25 mata asas bagi tranche 10 tahun. Pencapaian itu turut meletakkan Malaysia sebagai penanda aras penting bagi penerbitan sukuk global baharu oleh entiti berkaitan dengan kerajaan dan sektor swasta.

Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kejayaan penerbitan berkenaan membuktikan dasar ekonomi negara yang berpandukan kerangka Ekonomi MADANI berada di landasan yang tepat.

Beliau berkata, kerajaan telah memperkukuh kedudukan kewangan awam, memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan dan membina daya tahan negara bagi jangka masa panjang.

Menurut beliau, lebihan langganan yang tinggi bersama-sama kadar spread terendah turut mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi Malaysia meskipun berdepan dengan persekitaran global yang mencabar.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan terhadap penerbitan itu merupakan hasil pelaksanaan rangka kerja Ekonomi MADANI sejak tahun 2023 yang berjaya memperkukuh disiplin fiskal negara.

Defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada 6.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 kepada 3.7 peratus pada tahun 2025, manakala pinjaman kerajaan turut menurun kepada sembilan peratus daripada KDNK berbanding dengan 13.6 peratus dalam tempoh yang sama.

Pada masa yang sama, ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2024 dan tahun 2025, diikuti pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama tahun 2026, manakala anggaran awal suku kedua menunjukkan pertumbuhan 5.8 peratus.

Terbitan sukuk berkenaan turut menerima penarafan A3 daripada Moody’s Investors Service dan A- daripada S&P Global Ratings selaras dengan penarafan kredit berdaulat Malaysia yang stabil. Tranche 5.75 tahun ditawarkan pada kadar keuntungan 4.612 peratus setahun, manakala tranche 10 tahun pada kadar 4.949 peratus setahun.

Program libat urus yang dijalankan kerajaan turut berjaya menarik penyertaan kira-kira 140 pelabur antarabangsa daripada pelbagai segmen, termasuk dana kekayaan berdaulat, bank pusat, institusi kewangan, pengurus aset, syarikat insurans dan dana persaraan.

Dari segi pengagihan, tranche 5.75 tahun menerima penyertaan pelabur Asia sebanyak 76 peratus, diikuti Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) sebanyak 19 peratus, serta Amerika Syarikat (AS) lima peratus.

Bagi tranche 10 tahun pula, pelabur Asia menyumbang 63 peratus, diikuti AS 19 peratus dan EMEA 18 peratus. Terbitan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan Regulation S dan Rule 144A Akta Sekuriti Amerika Syarikat 1933, serta akan disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange, Labuan International Financial Exchange dan Bursa Malaysia di bawah Exempt Regime.

Hasil daripada penerbitan Sukuk Global itu akan digunakan kerajaan bagi tujuan yang mematuhi prinsip syariah, termasuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan pembiayaan semula obligasi sedia ada.

Penerbitan tersebut diuruskan oleh CIMB, HSBC, J.P. Morgan dan Standard Chartered Bank sebagai Joint Lead Managers dan Joint Bookrunners, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam dan pasaran sukuk global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi