Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin menyeru semua penggiat industri durian agar terus mematuhi syarat dan Protokol Keperluan Fitosanitari yang berkuat kuasa bagi pengeksportan durian segar ke China.
Mereka turut diseru agar tidak menggunakan sebarang kaedah yang berada di luar skop protokol atau belum mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa.
Beliau menegaskan bahawa pematuhan terhadap protokol yang dipersetujui antara Kerajaan Malaysia dengan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) amat penting bagi memastikan akses pasaran China yang dibina hasil rundingan selama bertahun-tahun terus terpelihara.
Jelas beliau,
Kita tidak boleh mengambil risiko yang boleh menjejaskan keyakinan pihak berkuasa China terhadap sistem kawal selia Malaysia. Apa-apa kaedah baharu yang belum dipersetujui atau tidak selaras dengan protokol sedia ada tidak seharusnya dilaksanakan secara unilateral kerana implikasinya bukan sahaja kepada syarikat terbabit, malah boleh menjejaskan keseluruhan industri durian negara.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Industri Durian Mengenai Cadangan Pre-Cut Durian Eksport ke China di Wisma Tani.
YB Datuk Chan Foong Hin berkata, industri durian merupakan antara subsektor agromakanan bernilai tinggi yang terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan. Pada tahun 2025, Malaysia merekodkan eksport durian bernilai RM1.10 bilion melibatkan 45 266 tan metrik ke pasaran global. China kekal sebagai destinasi eksport terbesar dengan nilai RM868.09 juta, iaitu hampir 79 peratus daripada keseluruhan nilai eksport durian negara.
Menurut beliau, pembukaan akses pasaran durian segar ke China pada tahun 2024 merupakan pencapaian penting hasil rundingan jangka masa panjang antara kedua-dua negara dan tertakluk sepenuhnya pada Protokol Keperluan Fitosanitari yang telah dipersetujui bersama.
Mengulas cadangan penggunaan kaedah pre-cut, YB Datuk Chan Foong Hin berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil maklum bahawa terdapat pandangan daripada sebahagian penggiat industri yang melihat kaedah tersebut berpotensi memanjangkan jangka hayat produk, mengurangkan kos logistik dan memperluas pilihan penghantaran ke pasaran China.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek pematuhan protokol, kawalan kualiti, keselamatan makanan dan kebolehkesanan produk perlu diberikan keutamaan kerana berkait rapat dengan reputasi durian Malaysia sebagai durian gugur matang (tree-ripened) yang menjadi identiti premium negara.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan bahawa Jabatan Pertanian sebelum ini telah menjelaskan pengeksportan durian segar melalui laluan darat yang melibatkan transit ke negara lain adalah di luar skop Protokol Keperluan Fitosanitari yang sedang berkuat kuasa dan tidak dibenarkan sehingga sebarang pindaan atau protokol baharu dimuktamadkan dan dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan GACC.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pejabat Perwakilan Pertanian (ACO) di Beijing baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak GACC yang menegaskan bahawa protokol sedia ada masih terpakai sepenuhnya dan tiada laluan darat dibenarkan bagi pengeksportan durian segar ke China.
YB Datuk Chan Foong Hin turut menasihatkan semua penggiat industri supaya terus mematuhi syarat dan protokol yang berkuat kuasa dan tidak mengambil jalan di luar skop kebenaran atau mendahului proses yang belum mendapat persetujuan kedua-dua kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan kepada kaedah pengeksportan hendaklah melalui saluran rasmi dan hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kerajaan Malaysia dan GACC.
Beliau berkata, KPKM akan terus mengamalkan pendekatan yang terbuka dan berpandukan fakta dalam menilai setiap cadangan daripada industri melalui sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan.
Menurutnya, keutamaan kementerian adalah untuk memastikan kepentingan jangka masa panjang industri terus terpelihara, reputasi durian Malaysia sebagai produk premium kekal terjamin, dan akses ke pasaran China yang dibina hasil usaha diplomasi selama bertahun-tahun tidak terjejas.