Diterbitkan pada 19 Julai 2026, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi menyediakan komitmen pembiayaan berjumlah RM1 bilion untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di Koridor Utara.

Kerjasama strategik itu bertujuan memperluas akses kepada pembiayaan, serta penyelesaian perbankan Islam bagi menyokong pembangunan projek strategik, pelabur dan perniagaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

NCER kini menjadi antara wilayah ekonomi yang berkembang pesat dengan kemasukan pelaburan domestik dan asing, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan termaju, logistik, agroperniagaan, ekonomi digital dan industri bernilai tinggi.

Menerusi kerjasama tersebut, MBSB Bank akan menawarkan pelbagai penyelesaian perbankan Islam termasuk pembiayaan projek dan perniagaan, pembiayaan perdagangan, pengurusan tunai, perkhidmatan perbendaharaan, serta perbankan digital bagi memperkukuh ekosistem pelaburan di wilayah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, komitmen pembiayaan RM1 bilion itu mencerminkan usaha bank untuk menyokong pertumbuhan sektor strategik seperti rel, automotif, E&E, aeroangkasa dan pembuatan, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi Koridor Utara.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, kerjasama tersebut dijangka meningkatkan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan tempatan, serta syarikat dalam rantaian bekalan bagi meningkatkan kapasiti, produktiviti dan penggunaan teknologi.

Inisiatif itu turut menyokong pembangunan taman perindustrian utama NCER seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis, Bandar Getah Kedah dan Taman Sains dan Teknologi Kedah yang menjadi pemangkin kepada pelaburan bernilai tinggi, pewujudan pekerjaan berkualiti dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Kredit Foto: MBSM Bank
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi