Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih menyeluruh menerusi Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada semalam.

Mesyuarat yang dianggotai pelbagai kementerian dan agensi itu bertujuan mengesyorkan strategi berimpak tinggi bagi menangani pelbagai isu sektor agromakanan, sekali gus memperkukuh sistem keterjaminan makanan negara dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah kebolehlaksanaan dan cadangan hala tuju penghasilan sumber protein alternatif di Malaysia, cadangan inisiatif pengukuhan daya saing industri pertanian tempatan, serta strategi pemerkasaan perkhidmatan dan operasi guri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Mesyuarat turut meneliti impak fenomena El Nino dan perubahan iklim yang meningkatkan risiko kemarau berpanjangan terhadap sektor pengeluaran makanan negara. Sehubungan dengan itu, KPKM telah menyediakan pelbagai strategi pencegahan, penyesuaian dan perlindungan bagi membantu pengusaha sektor pertanian mengurangkan kesan perubahan iklim terhadap pengeluaran makanan.

Selain itu, mesyuarat membincangkan penyelesaian isu perdagangan melibatkan produk perikanan dan pertanian, termasuk sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak tahun 2017, sekatan import udang Thailand ke Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand, serta permohonan akses pasaran produk ternakan ke negara itu yang masih tertunggak sejak tahun 2024.

Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2026) yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 September 2026. Pameran dwitahunan itu dijangka menjadi platform penting untuk memacu transformasi sektor agromakanan negara ke tahap yang lebih dinamik.

KPKM menegaskan bahawa keterjaminan makanan merupakan keutamaan nasional yang memerlukan komitmen kolektif semua pihak. Kerjasama strategik yang holistik antara kerajaan dengan industri dan pihak berkepentingan dilihat penting bagi menjamin kemampanan sistem makanan negara, sekali gus memastikan Malaysia terus berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi