Diterbitkan pada 17 Julai 2026, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 yang memperkukuh tadbir urus data negara dan memperkasakan penggubalan dasar berasaskan bukti, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pemodenan Sistem Statistik Negara.

RUU tersebut akan menggantikan Akta Perangkaan 1965 [Akta 415] yang menjadi asas perundangan statistik negara selama lebih daripada enam dekad. Pembaharuan itu dilaksanakan bagi memastikan kerangka perundangan statistik negara kekal relevan dengan perubahan struktur ekonomi dan masyarakat, kemajuan teknologi digital, serta keperluan terhadap data rasmi yang lebih tepat, berkualiti dan dipercayai.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir berkata, RUU Statistik 2026 bukan sekadar memperbaharui undang-undang sedia ada, malah memperkukuh keupayaan negara menghasilkan statistik rasmi yang terselaras, berkualiti dan diyakini.

Menurut beliau, data yang berkualiti akan menyokong penggubalan dasar yang lebih tepat, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dan memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat.

RUU yang mengandungi 22 fasal itu memperincikan fungsi Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), termasuk penubuhan Majlis Statistik Negara, kaedah pengumpulan dan permintaan data, penerbitan, serta komunikasi statistik, perlindungan kerahsiaan, kuasa membuat peraturan dan pemansuhan Akta Perangkaan 1965.

Selain itu, RUU berkenaan memperkukuh tadbir urus Sistem Statistik Negara melalui penyelarasan aktiviti statistik merentas agensi, serta penyeragaman konsep, definisi, kod, klasifikasi, standard dan metodologi. DOSM akan berperanan sebagai penyelaras penghasilan statistik rasmi dan repositori pusat data, serta statistik negara bagi memastikan data dapat digunakan secara lebih tersusun, bersepadu dan konsisten.

Kerajaan turut menegaskan bahawa RUU tersebut tidak mengambil alih atau mengubah bidang kuasa kementerian dan agensi. Setiap kementerian dan agensi kekal sebagai pemilik data pentadbiran, pemilik domain, serta peneraju statistik sektoral masing-masing, manakala penggunaan data pentadbiran secara lebih optimum dijangka mengurangkan pertindihan pengumpulan data, meringankan beban responden, serta menjimatkan kos, masa dan sumber.

Pada masa yang sama, pembekalan dan penggunaan data akan terus tertakluk pada undang-undang, peraturan keselamatan dan mekanisme perlindungan yang berkuat kuasa. Kerahsiaan data dan identiti responden kekal menjadi prinsip utama dengan maklumat individu, isi rumah atau pertubuhan yang diperoleh bagi tujuan statistik tidak boleh didedahkan atau digunakan bagi tujuan lain selain yang dibenarkan oleh undang-undang.

Menurut Kementerian Ekonomi, penggubalan RUU Statistik 2026 merupakan hasil penilaian dasar yang dilaksanakan sejak tahun 2016 dan tujuh sesi libat urus melibatkan kementerian, jabatan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, penggiat industri dan sektor swasta. Penggubalan tersebut turut mengambil kira piawaian statistik antarabangsa, amalan terbaik global dan perkembangan semasa dalam ekosistem data.

Kelulusan RUU Statistik 2026 mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan Sistem Statistik Negara yang lebih terselaras, berintegriti dan responsif, sekali gus memperkukuh penggubalan dasar berasaskan bukti, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan menyokong perancangan pembangunan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi