Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang memperkenalkan pembaharuan menyeluruh pertama terhadap KWAN sejak penubuhannya pada tahun 1988, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai simpanan antara generasi negara bagi memastikan rizab kewangan negara terus mampan untuk manfaat generasi kini dan akan datang.
Pembaharuan yang dibawa menerusi RUU tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh pengurusan kewangan awam, memelihara kekayaan negara secara mampan dan memastikan hasil negara hari ini turut memberikan manfaat kepada generasi masa hadapan.
Selaras dengan agenda reformasi ekonomi negara, RUU ini turut menggariskan langkah memperkukuh tadbir urus, meningkatkan disiplin fiskal dan memperkukuh daya tahan kewangan negara demi kepentingan rakyat.
Melalui RUU ini, sebuah badan berkanun baharu, iaitu Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) akan ditubuhkan bagi menggantikan struktur panel sedia ada. Badan itu akan bertanggungjawab mentadbir, mengurus dan melaburkan dana KWAN.
Dalam tempoh peralihan, pengurusan dana akan terus dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan kelangsungan operasi. Hingga akhir tahun 2024, dana KWAN di bawah pengurusan BNM telah berkembang kepada RM22.43 bilion dan semua aset, kontrak, serta operasi akan dipindahkan kepada badan baharu selepas penguatkuasaan undang-undang.
RUU ini turut memperkenalkan peruntukan mengikat berkaitan dengan sumbangan, penggunaan dan pelaburan dana. Kerajaan Persekutuan diwajibkan menyumbang sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada hasil tahunan yang diunjurkan, selain dua peratus daripada dividen Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang diterima Kerajaan Persekutuan, serta dua peratus daripada hasil duti eksport sumber menyusut selepas penyerahan kepada kerajaan negeri. Kadar tersebut merupakan kadar minimum dan Kerajaan Persekutuan boleh menambah sumbangan pada bila-bila masa.
Bagi memastikan kelestarian dana, penggunaan KWAN dihadkan kepada pembiayaan pendidikan, penjagaan kesihatan, serta usaha mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.
Pengeluaran tahunan pula tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kadar pulangan benar jangka masa panjang yang diunjurkan bagi memastikan nilai prinsipal terus dipelihara. Sebarang pengeluaran melebihi had tersebut hanya boleh dibuat selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat.
Dari sudut pelaburan, dana KWAN akan diurus berasaskan mandat pelaburan moden dengan pelaburan secara berhemat merentasi kelas aset yang dibenarkan mengikut Perumpukan Aset Strategik yang diluluskan oleh Menteri.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sumber yang dinikmati pada hari ini merupakan amanah kepada generasi akan datang. Melalui RUU ini, kerajaan memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi dengan memastikan sumber sumbangan lebih konsisten, penggunaan lebih berdisiplin dan tadbir urus yang lebih kukuh, sekali gus membolehkan lebih banyak kekayaan negara dipelihara dan diwariskan kepada generasi Malaysia pada masa hadapan.
RUU tersebut seterusnya akan dibentangkan di Dewan Negara untuk pertimbangan dan kelulusan.