Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku tahun kedua 2026 berkembang sebanyak 5.8 peratus, mengatasi jangkaan pasaran yang mengunjurkan pertumbuhan sekitar 5.2 peratus.

Prestasi itu lebih kukuh berbanding dengan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun pertama 2026 dan 5.2 peratus bagi keseluruhan tahun 2025, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi negara meskipun persekitaran ekonomi global terus berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan.

Pertumbuhan tersebut disokong oleh prestasi kukuh sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian, serta pembinaan. Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada separuh tahun pertama 2026 berbanding dengan 4.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam kalangan negara serantau yang telah mengumumkan prestasi ekonomi masing-masing, Malaysia mengatasi Singapura yang mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus dan China 4.3 peratus, manakala Vietnam merekodkan pertumbuhan lebih tinggi, iaitu 8.4 peratus.

Pencapaian itu direkodkan walaupun ekonomi dunia masih berdepan dengan cabaran susulan konflik di Asia Barat, gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz dan krisis rantaian bekalan global yang menyebabkan peningkatan harga tenaga, kos logistik, serta kos input pengeluaran. Keadaan itu menunjukkan asas ekonomi Malaysia kekal pelbagai dan berdaya tahan dalam menghadapi tekanan luaran.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerangka Ekonomi MADANI telah memperkukuh keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang mampan walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global. Pencapaian tersebut turut mencerminkan keberkesanan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan, namun usaha memperkukuh ekonomi perlu diteruskan secara konsisten.

Beliau turut mengakui bahawa di sebalik pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, masih terdapat rakyat, dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat tempias krisis global. Oleh itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan beban rakyat, menjamin bekalan barangan keperluan dan memastikan kelangsungan operasi perniagaan.

Sejak April 2026, Kerajaan MADANI telah menggerakkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) bersama-sama pihak industri bagi mengenal pasti bekalan kritikal dan mendapatkan sumber alternatif. Langkah itu membantu memastikan bekalan domestik kekal mencukupi dan mengurangkan tekanan harga walaupun rantaian bekalan global terus terganggu.

Selain itu, kerajaan menyediakan sokongan pembiayaan melebihi RM15 bilion kepada PMKS dan usahawan mikro melalui kemudahan pembiayaan Bank Negara Malaysia, jaminan pembiayaan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, dan pembiayaan mikro menerusi pelbagai agensi dan institusi kewangan pembangunan bagi membantu menampung peningkatan kos operasi.

Dalam perkembangan berkaitan dengannya, kadar inflasi negara kekal terkawal pada 1.9 peratus pada suku tahun kedua 2026. Kerajaan turut mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah BUDI MADANI RON95 pada RM1.99 seliter, selain memperkenalkan BUDI MADANI Diesel pada RM2.10 seliter kepada golongan yang layak bagi mengurangkan beban kos sara hidup dan memastikan kelangsungan operasi sektor perniagaan, serta pengangkutan.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus meneliti setiap langkah dengan cermat bagi memastikan tiada golongan yang tercicir, di samping memperkukuh daya tahan ekonomi negara. Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited untuk melindungi kesejahteraan rakyat, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa yang sama memelihara disiplin fiskal negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijadualkan menerbitkan data KDNK awal bagi suku tahun kedua 2026 pada 14 Ogos 2026. Anggaran awal yang diumumkan ini masih tertakluk pada semakan apabila data yang lebih komprehensif diperoleh.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi