Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia terus memperkukuh industri kreatif negara menerusi kerjasama strategik antara Orange Economy Consortium (OEC) dengan Cloudwise (Beijing) Technology Co., Ltd. (Cloudwise) bagi memacu pembangunan kandungan kreatif berasaskan kecerdasan buatan (AI). Kerjasama tersebut dijangka menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab ekonomi kreatif digital pada peringkat serantau.

Pengerusi OEC, YBhg. Datuk Kamil Othman berkata, kerjasama itu akan memperkukuh ekosistem industri kreatif negara melalui integrasi teknologi AI, penerbitan, penyelidikan, harta intelek (IP) dan kandungan digital selaras dengan agenda pembangunan negara menjelang tahun 2030.

Menurut beliau, Malaysia kini berada pada fasa penting dalam mentransformasikan industri kreatif daripada sektor hiburan tradisional kepada ekosistem ekonomi bernilai tinggi yang berteraskan kreativiti, budaya, teknologi dan harta intelek sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.

Beliau berkata demikian selepas sesi perbincangan kerjasama antara OEC dengan Cloudwise yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), YBrs. Dr. Hasan Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif International Business Group Cloudwise, Daisy Zhang; Naib Presiden Asia Tenggara Cloudwise, Lim Fang How; dan Pengarah Jualan Cloudwise Malaysia, Zaki Mohd. Ikram.

(Dari kiri) Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBrs. Dr. Hasan Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif International Business Group Cloudwise, Daisy Zhang; dan Pengerusi Orange Economy Consortium, YBhg. Datuk Kamil Othman.

Kamil berkata, melalui kerjasama tersebut, Cloudwise akan menyediakan kepakaran dalam infrastruktur AI perindustrian, pemantauan sistem pintar, serta sokongan operasi digital bagi membantu pembangunan pelbagai inisiatif kandungan yang diterajui OEC.

“AI bukan bertujuan menggantikan kreativiti manusia, sebaliknya memperkasakan pencipta kandungan, mempercepat proses pembangunan idea dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi kandungan digital global,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan Ekonomi Jingga merupakan evolusi kepada konsep ekonomi kreatif yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri, bermula daripada penciptaan idea, pembangunan kandungan dan penerbitan sehingga penggunaan teknologi, pengedaran digital, serta pengkomersialan pada peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu kepada syarikat dan pemain industri, malah memberikan ruang kepada golongan muda menjana pendapatan melalui kreativiti dengan memanfaatkan teknologi digital dan AI.

Beliau menegaskan bahawa AI perlu dilihat sebagai pemangkin peningkatan produktiviti dan kecekapan pembangunan kandungan, manakala nilai sesebuah karya kreatif tetap bergantung pada idea, pengalaman, budaya dan naratif yang dihasilkan oleh manusia.

Sementara itu, Daisy Zhang berkata, Cloudwise berbesar hati dapat bekerjasama dengan OEC dalam menyokong transformasi digital industri kreatif Malaysia.

Menurut beliau, syarikat itu akan menyumbangkan kepakaran dalam penyelesaian AI perindustrian, pembangunan infrastruktur digital dan operasi pintar bagi memastikan pembangunan platform teknologi OEC dapat dilaksanakan secara mampan dan berdaya tahan.

Beliau berkata, Cloudwise merupakan penyedia penyelesaian AI perusahaan bertaraf global yang memiliki kepakaran dalam pemantauan infrastruktur digital, AIOps dan pengurusan operasi teknologi maklumat (IT), selain tersenarai dalam Forbes China Top 50 Technology Companies dan Hurun Global Unicorn List 2024.

Kredit Foto: YAYASAN PEMBANGUNAN BUKU NEGARA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi