Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAshgabat – Malaysia dan Turkmenistan bersetuju memperluas kerjasama ekonomi strategik melangkaui sektor minyak dan gas dengan memberikan tumpuan kepada bidang baharu berimpak tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara yang selama ini berteraskan sektor tenaga kini memasuki fasa baharu yang lebih menyeluruh menerusi penerokaan pelbagai bidang kerjasama yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
Menurut beliau, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam industri semikonduktor, AI, serta teknologi baharu, selain memperkukuh kerjasama antara universiti, institusi penyelidikan dan pusat pembangunan bakat kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Malaysia–Turkmenistan yang menghimpunkan wakil kerajaan dan komuniti perniagaan kedua-dua negara bagi meneroka peluang kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang lebih luas.

YAB Dato’ Seri Anwar berkata, kejayaan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang telah beroperasi di Turkmenistan selama 30 tahun membuktikan bahawa hubungan ekonomi antara kedua-dua negara bukan sekadar berasaskan pelaburan, sebaliknya melibatkan perkongsian teknologi, pembangunan kapasiti dan pemindahan ilmu.
Ujar beliau,
PETRONAS hadir bukan sekadar sebagai syarikat multinasional, tetapi sebagai rakan strategik yang komited untuk berkembang bersama-sama Turkmenistan menerusi perkongsian pengalaman, kepakaran dan teknologi.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama ekonomi masa hadapan perlu memberikan manfaat kepada generasi muda kedua-dua negara melalui pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran profesional dalam sektor ekonomi baharu yang berasaskan teknologi dan inovasi.
Dalam pada itu, Malaysia dan Turkmenistan turut memeterai beberapa perjanjian penting yang melibatkan pembangunan sumber hidrokarbon, penerokaan blok tenaga baharu, kajian seismik luar pesisir, serta pembangunan lanjut medan gas Galkynysh. Perjanjian tersebut dijangka memperkukuh lagi kerjasama tenaga antara kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.
Menurut YAB Dato’ Seri Anwar, kerjasama yang terjalin antara Malaysia dengan Turkmenistan bukan sahaja tertumpu pada aspek perdagangan dan pelaburan, malah dibina atas asas kepercayaan, persahabatan dan komitmen bersama untuk mencapai kemajuan ekonomi yang mampan.
Beliau berkata, hubungan erat tersebut boleh menjadi contoh kepada negara Selatan Global dalam mewujudkan kerjasama pembangunan yang berteraskan perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan manfaat bersama, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.