Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia dan Persekutuan Rusia meneroka pelbagai peluang kerjasama strategik yang berpotensi memperkukuh hubungan dua hala, termasuk dalam sektor tenaga yang mampu memperkasakan jaminan bekalan tenaga dan minyak negara untuk jangka masa panjang.

Perkara tersebut dibincangkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan yang turut menyentuh beberapa bidang strategik berkepentingan bersama.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kedua-dua pemimpin menyambut baik usaha memperluas kerjasama ekonomi dan menghargai kesediaan Persekutuan Rusia untuk menjalin kerjasama jangka masa panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan industri farmaseutikal.

Perbincangan tersebut turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, di samping meneroka mekanisme yang dapat memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menerusi penggunaan mata wang tempatan, iaitu ringgit dan rubel.

Lawatan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kazan, Persekutuan Rusia berlangsung sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-35 hubungan dialog antara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan Rusia.

Selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin, Perdana Menteri turut menyertai Forum Perniagaan ASEAN-Rusia yang menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan meneroka peluang kerjasama baharu antara Rusia dengan negara ASEAN.

Selepas menamatkan lawatan ke Rusia, Perdana Menteri meneruskan lawatan rasmi ke Ashgabat, Turkmenistan atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedow sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Kredit Foto: Facebook YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi