Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 13:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kadar inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 apabila indeks harga pengguna (IHP) mencatatkan 137.1 mata berbanding dengan 134.4 mata pada tempoh sama tahun 2025.

Ketua Perangkawan, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut didorong oleh beberapa kumpulan utama dalam IHP, khususnya kumpulan maklumat dan komunikasi, serta makanan dan minuman.

Menurut beliau, kumpulan maklumat dan komunikasi meningkat kepada 2.1 peratus berbanding dengan 2.0 peratus pada April 2026, manakala kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada wajaran IHP mencatatkan peningkatan kepada 1.4 peratus berbanding dengan 1.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut meningkat kepada 1.2 peratus berbanding dengan 1.1 peratus pada April 2026. Kumpulan rekreasi, sukan dan budaya naik pula mencatatkan kenaikan kepada 1.1 peratus berbanding dengan 0.9 peratus sebelumnya didorong oleh peningkatan inflasi dalam subkumpulan penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan kediaman.

Menurut beliau, pelarasan kos bahan api secara automatik (AFA) yang dikenakan kepada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bagi penggunaan elektrik melebihi 600 kilowatt-jam (kWh) turut mempengaruhi pergerakan harga.

Suruhanjaya Tenaga (ST) menetapkan kadar AFA pada 1.38 sen/kWh dalam bentuk surcaj bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Mei 2026 berbanding dengan rebat 0.47 sen/kWh pada April lalu.

Pelarasan ini memberikan kesan kepada tarif elektrik purata berbanding dengan tempoh sebelumnya, namun pengguna domestik yang menggunakan 600 kWh dan ke bawah kekal tidak terjejas.

Dalam pada itu, inflasi kumpulan pengangkutan menyederhana kepada 3.8 peratus berbanding dengan 4.1 peratus pada April 2026. Kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan turut mencatatkan kadar yang lebih rendah, iaitu 2.5 peratus berbanding dengan 2.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Selain itu, inflasi pendidikan menurun kepada 2.2 peratus berbanding dengan 2.4 peratus pada April, manakala inflasi kesihatan turut berkurang kepada 1.2 peratus daripada 1.4 peratus.

YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Uzir berkata, daripada 573 barangan yang dipantau, sebanyak 364 barangan atau 63.5 peratus merekodkan kenaikan harga pada Mei 2026. Daripada jumlah tersebut, 355 barangan atau 97.5 peratus mencatatkan kenaikan harga kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala sembilan barangan merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus. Sebanyak 167 barangan pula mencatatkan penurunan harga, manakala 42 barangan kekal tidak berubah.

Bagi bahan api, purata harga petrol RON97 menurun kepada RM4.81 seliter berbanding dengan RM5.06 pada April 2026. Harga diesel di Semenanjung Malaysia turut susut kepada RM5.01 seliter daripada RM5.92 pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, harga diesel di Sabah dan Sarawak kekal pada RM2.15 seliter. Purata harga petrol RON95 pula menurun kepada RM3.97 seliter berbanding dengan RM4.00 seliter pada April, manakala harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Dari segi negeri, kadar inflasi yang melebihi paras nasional direkodkan di Pahang, Negeri Sembilan, Labuan, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Putrajaya dan Melaka. Sarawak pula mencatatkan kadar inflasi terendah, iaitu 0.5 peratus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi