Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – CIMB Bank Berhad (CIMB) memperkenalkan Program Penyelesaian Kereta Pertama bagi membantu golongan muda berusia 18 tahun hingga 30 tahun memiliki kenderaan menerusi pembiayaan automotif yang disertakan dengan perlindungan insurans atau takaful, serta kemudahan kad kredit.
Program tersebut menawarkan kadar pembiayaan yang kompetitif dan pembaharuan cukai jalan percuma selama dua tahun bernilai RM240 kepada pembeli kereta pertama kali.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, Gurdip Singh Sidhu berkata, inisiatif itu bertujuan membantu pembeli kali pertama mengurus komitmen kewangan berkaitan dengan pemilikan kenderaan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut beliau, program tersebut menggabungkan elemen pembiayaan dan perlindungan kewangan bagi mengurangkan beban kos pemilikan kereta, serta menyokong amalan pinjaman yang bertanggungjawab.
Antara manfaat yang ditawarkan termasuklah perlindungan insurans GAP Harga Pembelian (PPG) yang menanggung perbezaan antara bayaran pampasan insurans motor dengan harga pembelian asal kenderaan sekiranya berlaku kerugian menyeluruh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Group, Haniz Nazlan berkata, program tersebut dirangka untuk membantu golongan muda membina asas kewangan yang lebih kukuh melalui pemilikan kenderaan yang terancang dan mampan.