Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus menunjukkan impak positif apabila sebanyak 52 540 pembayar cukai tampil secara sukarela mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran terdahulu dengan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM4.07 bilion.

Menurut kenyataan HASiL, inisiatif pendigitalan yang bermula pada 1 Ogos 2024 telah menyaksikan lebih daripada 230 000 pembayar cukai yang mengemukakan sebanyak 1.505 bilion e-Invois setakat ini, sekali gus mencerminkan tahap kesediaan dan sokongan tinggi dalam kalangan penggiat industri terhadap transformasi digital sistem percukaian negara.

Selaras dengan prinsip ketelusan dalam sistem percukaian negara, bermula 1 Januari 2026, semua pembayar cukai diwajibkan mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000.

Bagi tujuan itu, pembeli perlu mengemukakan nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual bagi memastikan e-Invois dapat dikeluarkan dengan tepat.

Pada masa yang sama, HASiL telah membangunkan model analitik bagi mengenal pasti anomali, transaksi mencurigakan dan corak tingkah laku luar kebiasaan untuk tujuan penguatkuasaan.

Inisiatif tersebut terbukti berkesan apabila HASiL berjaya melaksanakan penilaian risiko dengan lebih efektif, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan cukai secara sukarela dan menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negara.

Berdasarkan analisis itu, HASiL mengesan terdapat pembayar cukai yang menunjukkan corak transaksi kewangan aktif, tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk transaksi pembelian bernilai tinggi melebihi RM100,000, pemilikan kenderaan dan aset, serta aktiviti transaksi dalam talian yang aktif tanpa pelaporan pendapatan yang sewajarnya.

HASiL kekal komited untuk mempergiat pendekatan dorongan (nudging) dan pematuhan berasaskan data e-Invois (data-driven) bagi meningkatkan kesedaran dan memberikan peluang kepada pembayar cukai untuk membuat pembetulan, serta mengemukakan maklumat cukai secara sukarela sebelum tindakan lanjut diambil.

Selain itu, pihak HASiL mendapati masih terdapat pembayar cukai yang tidak mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois seperti yang ditetapkan.

Yang pertama, kesilapan yang dikenal pasti, termasuk pengeluaran e-Invois secara tidak konsisten, iaitu hanya bagi sebahagian transaksi dan gagal bagi transaksi lain. Yang kedua, pengeluaran e-Invois yang tidak mematuhi ketetapan dalam Garis Panduan e-Invois.

Yang ketiga, penghantaran e-Invois secara terkumpul selepas tempoh masa yang dibenarkan dan keempat pula ialah kegagalan mengeluarkan e-Invois bagi transaksi melebihi RM10,000 mulai 1 Januari 2026.

Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai agar memastikan pengeluaran e-Invois dilaksanakan sepenuhnya mengikut ketetapan yang telah dikuatkuasakan.

Sementara itu, bagi pembayar cukai yang masih belum mengeluarkan e-Invois untuk transaksi terdahulu, tindakan pembetulan secara sukarela perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

Tindakan undang-undang akan diambil bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dan menjamin keadilan dalam sistem percukaian negara terus terpelihara.

Pembayar cukai yang ingin mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat lanjut boleh berkunjung ke Pejabat HASiL, menghubungi HASiL melalui saluran khas e-Invois menerusi talian 03-8682 8000 (24 jam), menggunakan MyInvois Live Chat atau menghantar e-mel ke [email protected].

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi