Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Siri Jelajah Promosi MAHA 2026 terus memperluas hebahan kepada masyarakat menerusi penganjuran Program Road To MAHA 2026 Zon Sabah yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Likas.

Program ini bertujuan menguar-uarkan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dan meningkatkan kesedaran mengenai peranan sektor agromakanan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Program yang berlangsung dari 11 Jun hingga 14 Jun 2026 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin.

Penganjuran program berkenaan turut diadakan bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan sebagai sebahagian daripada siri jelajah promosi MAHA 2026 ke seluruh negara.

Bertemakan “Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor agromakanan melalui pembangunan ekosistem pertanian yang bernilai tinggi, berdaya saing, dipacu teknologi dan mampan.

Pameran yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 dijangka menarik kehadiran kira-kira empat juta pengunjung, menghimpunkan lebih daripada 2000 pempamer dan merekodkan nilai memorandum persefahaman (MoU) sebanyak RM8 bilion.

Sambutan yang diterima daripada komuniti usahawan terhadap MAHA 2026 setakat ini amat memberangsangkan apabila sebanyak 3091 permohonan penyertaan telah diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3005 usahawan telah berjaya mendaftar untuk menyertai pameran berkenaan, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi penggiat industri terhadap MAHA sebagai platform utama pemasaran, jaringan perniagaan dan pengembangan pasaran produk agromakanan negara.

Program Road To MAHA 2026 Zon Sabah turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Jualan Agro MADANI, Jualan Happy Hour, Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan, demonstrasi pertanian, sesi perkongsian ilmu, serta pelbagai program interaktif yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat.

Penganjuran siri jelajah ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium hebahan dan promosi kepada MAHA 2026, malah menjadi platform yang mempertemukan masyarakat dengan pelbagai inovasi, teknologi dan produk agromakanan tempatan.

Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan negara, serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keterjaminan makanan negara.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi