Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan sambutan lebih meriah pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026) yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026 menerusi peluasan reruai dan pelbagai aktiviti interaktif bagi merancakkan industri buku tempatan, serta meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Bertemakan “Malaysia Membaca Merayakan Buku”, penyertaan DBP kali ini bukan sahaja tertumpu pada jualan buku, malah turut berfungsi sebagai platform interaktif yang menggabungkan elemen pendidikan, hiburan dan promosi industri penerbitan. Pendekatan tersebut dilihat mampu menarik lebih banyak pengunjung, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi berkaitan dengan sektor perbukuan dan kandungan kreatif negara.
Bagi memaksimumkan pengalaman pengunjung, DBP menyediakan zon aktiviti dan gerai jualan di beberapa lokasi strategik, iaitu di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, serta Ruang Legar, Aras 4 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Ruang khas di Aras 4 turut difokuskan kepada golongan remaja menerusi pengisian yang lebih santai dan bersesuaian dengan minat generasi muda.
Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, YBrs. Puan Faizah Hashim berkata, pembahagian reruai mengikut aras dibuat secara strategik bagi memastikan setiap kelompok pengunjung dapat disantuni dengan pengisian yang bersesuaian.
Menurut beliau, langkah tersebut juga bertujuan memperluas capaian DBP kepada kelompok pembaca muda yang menjadi antara sasaran utama industri penerbitan masa kini.
Sempena ulang tahun penubuhan DBP ke-70 yang diraikan serentak dengan PBAKL 2026, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran khas “Tujuh Dekad DBP” yang memaparkan sejarah perkembangan penerbitan dan sumbangan DBP terhadap industri bahasa, sastera dan perbukuan negara sejak tujuh dekad lalu.
Sepanjang penganjuran pesta buku itu, DBP merangka pelbagai aktiviti bagi menarik kehadiran pengunjung antaranya termasuklah sesi wacana ilmu, pelancaran buku baharu, bicara karya, persembahan teater boneka kanak-kanak, pertandingan bercerita, serta sesi pencarian ilustrator secara langsung. Aktiviti berbentuk interaktif tersebut dijangka mampu meningkatkan keterlibatan masyarakat terhadap industri buku dan kandungan kreatif tempatan.
Yang turut menjadi tarikan ialah permainan tradisional “Dam Ular Gergasi” yang disediakan dalam bentuk interaktif. Aktiviti tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai elemen hiburan keluarga, malah menjadi medium pendidikan santai yang menggalakkan pengunjung berinteraksi dengan kandungan ilmu dan bahasa.
Bagi merancakkan jualan, DBP menawarkan potongan harga buku sehingga 50 peratus, serta jualan lambak majalah lama pada harga serendah RM1 senaskhah. Inisiatif tersebut dijangka membantu meningkatkan akses masyarakat terhadap bahan bacaan berkualiti pada harga lebih mampu milik di samping merangsang jualan penerbitan tempatan.
Selain itu, petugas DBP yang memakai topi khas dan membawa sepanduk promosi akan bergerak aktif di sekitar kawasan pameran bagi membantu pengunjung mendapatkan maklumat, berinteraksi secara langsung, serta mengedarkan kupon promosi sepanjang berlangsungnya PBAKL 2026.
